Khamis, 6 Januari 2022 | 6:15pm
Shapawi sedia beri peluang kedua kepada atlet yang digugurkan sertai semula program MSN.
Shapawi sedia beri peluang kedua kepada atlet yang digugurkan sertai semula program MSN.

MSN cabar atlet digugurkan tingkat prestasi

KUALA LUMPUR: Pintu sentiasa terbuka buat atlet yang digugurkan daripada program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini untuk kembali disenaraikan sekiranya mampu mempamerkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peluang kedua wujud kepada semua dan ia sudah dibuktikan sebelum ini apabila ada atlet yang digugurkan kembali terpilih.

"Beberapa atlet lain juga pernah datang balik (kembali tersenarai dalam program latihan MSN) selepas mempamerkan prestasi terbaik.

"Kita juga ada beberapa atlet olahraga yang masih berusaha untuk datang balik dan cuba buktikan yang mereka masih lagi terbaik bukan saja di dalam negara tetapi di peringkat Asia Tenggara dan seterusnya.

"Jadi, peluang itu sentiasa terbuka. Selagi mereka dapat buktikan bahawa mereka masih mampu memberikan pulangan kepada pelaburan negara, saya rasa bukan saja saya tetapi persatuan sukan kebangsaan juga sedia untuk menerima mereka kembali.

"Kami di sini untuk memberikan mereka peluang meneruskan minat dan mengasah bakat mereka sehinggalah meraih pencapaian tertinggi. Itulah tujuan kami bekerja di sini sebagai persatuan dan MSN," katanya dalam satu sidang media mengenai program latihan, semalam.

Susulan peruntukan kewangan yang terhad, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.

Bagi atlet para pula, seramai 45 atlet dipilih meneruskan program berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.

MSN sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun ini.

Berita Harian X