Ahad, 2 Januari 2022 | 10:22pm
Barisan pemain Terengganu Turtles yang bakal membawa cabaran dalam Kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) musim ini. - NSTP/Malik Muhamad
Barisan pemain Terengganu Turtles yang bakal membawa cabaran dalam Kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) musim ini. - NSTP/Malik Muhamad

Izurin, Kamal 'senjata' Terengganu Turtles

KUALA TERENGGANU: Kehadiran bekas tekong kebangsaan, Izurin Refin dan perejam berpengalaman, Mohd Kamal Alfiza Shafie menjadi 'senjata' buat pasukan Terengganu Turtles mencapai sasaran muncul juara Divisyen Satu Liga Sepaktakraw (STL) musim ini.

Selain itu, persiapan rapi pasukan bawah kendalian bekas perejam kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani dan pembantunya, Mohd Faisal Muhamad di samping pengurus pasukan, Wan Shahrul Nizam Wan Shafi'i turut diyakini mampu menjadi pencabar terkuat dalam kejohanan tahunan itu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menjelaskan, dua bekas pemain kebangsaan itu bukan sahaja menjadi tonggak pasukan, malah sebagai penyuntik semangat buat pemain muda.

"Sasaran kita adalah untuk muncul juara Divisyen Satu STL musim ini sekali gus layak beraksi dalam pentas Piala Kejuaraan selain Liga Perdana musim depan.

"Kami yakin dan percaya dengan kehadiran dua pemain berpengalaman itu yang pernah mewakili kebangsaan dan ditambah perancangan yang begitu rapi, sasaran itu bakal dicapai sebagaimana sebelum ini pasukan Terengganu Turtles pernah bersaing dalam Liga Perdana sebelum tersingkir," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pasukan Sepaktakraw Terengganu Turtles, di sini petang ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

Dalam majlis itu, Ketengah turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM15,000 kepada persatuan itu menjelang kejohanan yang bakal berlangsung bermula 1 hingga 6 Februari depan, manakala Liga Perdana bakal membuka tirainya pada 7 Januari yang masing-masing berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selain Izurin dan Kamal Alfiza yang mewakili Pahang Mammoth musim lalu, Terengganu Turtles turut dibarisi enam lagi pemain muda iaitu Muhammad Izzat Shahir Rosli, Muhammad Hasmadi Wahab, Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin, Alif Mursyid Rusli dan Muhammad Amar Roslan.

Berita Harian X