Isnin, 20 Disember 2021 | 8:30pm
Gambar fail - Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Gambar fail - Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Foto NSTP/Owee Ah Chun.

MSN sudah ada senarai atlet bakal ditawar kontrak

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mempunyai senarai atlet yang akan ditawarkan kontrak bagi mengikuti program latihan tahun depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ia adalah hasil daripada perjumpaan dengan sebahagian besar persatuan sukan kebangsaan sebelum ini.

Katanya, menerusi perjumpaan itu, pihaknya juga mengambil kira pandangan dan keluhan persatuan apabila terdapat atlet mereka kemungkinan tidak lagi berada dalam program latihan berkenaan.

"Seperti yang saya ingatkan, mereka(atlet) ini bukannya digugurkan cuma kontrak mereka dalam Program Podium sudah ditamatkan sebelum kami menawarkan (kontrak) baharu kepada atlet terpilih.

"Senarai nama ini akan dibentangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara (ISN) untuk tindakan lanjut.

"Kita akan maklumkan senarai nama ini dalam masa terdekat supaya program latihan ini dapat dilaksanakan segera," katanya.

MSN sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah yang perlu diperkenalkan semula.

Penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 susulan dunia sukan negara dan antarabangsa seolah-olah terhenti sementara sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

Tindakan ini diterjemahkan dengan langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/ Para Asia, pada tahun depan.

Jumlah atlet yang dikenalpasti akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa adalah seramai 288 yang juga kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada tiga temasya sukan berkenaan.

Berita Harian X