Jumaat, 17 Disember 2021 | 11:05pm
Sukma Malaysia 2020 akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.
Sukma Malaysia 2020 akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.

'Pertandingkan semua sukan teras SUKMA 2020'

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) meletakkan harapan yang tinggi agar semua jenis sukan teras dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang bakal dilangsungkan di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Pengarahnya, Ahmad Shahrizal Yahya turut mengharapkan sukan bukan teras juga dapat dipertandingkan bagi merancakkan lagi industri sukan negara yang sebelum ini suram berikutan pandemik COVID-19.

Katanya, jika sukan pilihan tidak dipertandingkan pada temasya sukan yang sepatutnya diadakan secara dwitahunan itu, negara bakal kehilangan dua generasi pelapis yang bakal membawa cabaran negara pada kejohanan peringkat antarabangsa.

"Ini penting buat kontinjen negara. Jika sukan pilihan ini tidak dipertandingkan pada SUKMA pada tahun depan, saya berpandangan negara akan kehilangan dua generasi pelapis apatah lagi selepas SUKMA 2020 yang sepatutnya berlangsung di Johor dibatalkan.

"Ini kerana atlet-atlet berkenaan adalah kumpulan teras yang akan mewakili negara pada kejohanan peringkat antarabangsa termasuk Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan Olimpik suatu hari nanti.

"Persiapan pasukan negara juga dilihat bakal menghadapi kesukaran untuk memilih atlet berpotensi tinggi yang mampu menyumbang pingat kepada kontinjen negara dalam temasya sukan antarabangsa," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahrizal berkata pada masa sama atlet-atlet berkenaan akan kecewa kerana sebahagian besar daripada mereka sudah berlatih melebihi tempoh tiga tahun iaitu selepas SUKMA edisi ke-19 di Perak pada 2018.

"Jika hanya sukan tertentu sahaja dipertandingkan, saya percaya atlet yang sudah bertungkus-lumus lebih tiga tahun lalu juga pasti ada yang kecewa kerana tidak dapat beraksi, ditambah pula umur mereka sudah melebihi tempoh yang sepatutnya.

"Bagi pihak kerajaan dan MSNT sendiri, sudah pasti tidak mahu impian untuk melihat kejayaan atlet berkecai terutama selepas melabur kewangan begitu banyak sebelum ini bagi persiapan mereka.

Terdahulu Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan status penganjuran sukan terbesar negara itu dijangka akan diumumkan hujung bulan ini.

Pada Oktober lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan SUKMA 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung mulai 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan pada 2024 dan digantikan dengan SUKMA di Kuala Lumpur tahun depan.

Berita Harian X