Isnin, 13 Disember 2021 | 9:26pm
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof. - Foto ihsan Astroawani
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof. - Foto ihsan Astroawani

Pesuruhjaya Sukan kecewa olahraga Selangor ingkar

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) akan meneliti laporan mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Olahraga Selangor semalam yang turut menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu, bagi menentukan statusnya.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof bagaimanapun menzahirkan kekecewaan selepas Jawatankuasa Induk POS sebelum ini sudah bersetuju menangguhkan AGM berkenaan menerusi perbincangan pada 8 Disember lalu.

"Persetujuan untuk menangguhkan AGM itu dibuat bagi membolehkan POS memulihkan struktur jawatankuasa dalam persatuan berkenaan terlebih dahulu. Namun, saya agak kecewa apabila mereka mengubah fikiran dengan tetap mengadakan AGM.

"Berhubung sama ada pemilihan dan AGM yang diadakan itu sah atau tidak, saya perlu tunggu laporan daripada POS dulu.

"Mereka ada tempoh 30 hari (selepas AGM diadakan) untuk menghantar laporan dan selepas itu kita akan semak sama ada perjalanan AGM itu mengikut aturan yang ditetapkan atau sebaliknya," kata Ibrahim kepada BH Sukan.

POS yang dilanda kemelut dalaman sebelum ini melakukan transformasi besar apabila melantik bekas atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim bagi menerajui badan induk itu menerusi pemilihan pada AGM berkenaan.

Pemilihan berkenaan turut mencipta sejarah apabila Norhayati, 40, menjadi wanita pertama dilantik memimpin persatuan olahraga di negara ini yang sebelum ini didominasi lelaki sahaja.

Beliau yang juga anak kepada bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim diumum menang tanpa bertanding dalam pemilihan barisan kempimpinan bagi penggal 2021-2024 sekali gus mengambil alih kerusi nombor satu POS yang sebelum ini dipimpin oleh Datuk SM Muthu.

Sementara itu, Muthu mendakwa status AGM berkenaan 'masih samar' kerana beberapa ahli gabungan melanggar kriteria yang ditetapkan selepas mereka tidak mengadakan mesyuarat dalam tempoh lebih dua tahun.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), berkata keengganannya menghadiri AGM semalam adalah bagi mematuhi arahan yang ditetapkan oleh PJS sekali gus beranggapan beliau masih lagi presiden POS.

"Sebelum ini mereka sudah bersetuju untuk selesaikan segala kemelut dan perkara berbangkit kerana ada antara ahli gabungan tidak pernah mengadakan mesyuarat lebih dua tahun.

"Saya hanya mengikut saranan yang sudah ditetapkan dan biarkan PJS menentukan status pemilihan kepimpinan baharu itu.

"Jika ada antara ahli gabungan masih lagi tidak memenuhi syarat ditetapkan oleh PJS, kenapa masih lagi mahu mengadakan AGM. Sepatutnya tunggu sehingga semuanya selesai dahulu," katanya.

Berita Harian X