Selasa, 7 Disember 2021 | 6:54pm
SEAGF setuju temasya Sukan SEA Vietnam 2021 diadakan dari 12 hingga 23 Mei tahun depan.
SEAGF setuju temasya Sukan SEA Vietnam 2021 diadakan dari 12 hingga 23 Mei tahun depan.

Vietnam pilih tarikh 12 hingga 23 Mei

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai tarikh penganjuran Sukan SEA Vietnam 2021 yang sebelum ini ditangguhkan akhirnya terjawab apabila ia akan diadakan dari 12 hingga 23 Mei tahun depan.

Perkembangan itu dikongsikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi akaun Twitter miliknya.

Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang berlangsung, hari ini.

Sukan SEA Vietnam pada awalnya dijadual berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember lalu.

Bagaimanapun, jawatankuasa penganjur memohon temasya dwitahunan itu ditunda ke tahun depan susulan pandemik COVID-19 selain masih belum mendapat kata putus daripada kerajaan Vietnam.

Perkembangan terbaru itu pastinya memberi kelegaan kepada atlet dan pegawai negara yang bertanding selepas berada dalam keadaan tidak menentu berhubung penganjuran temasya terbesar di Asia Tenggara berkenaan.

Berita Harian X