Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:44pm
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat. - Foto ihsan Johor Press
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat. - Foto ihsan Johor Press

Tindakan tegas menanti pihak terbabit isu doping

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi amaran tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam isu doping sukan itu yang seolah-olah tiada kesudahan.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata PABM juga tidak akan teragak-agak untuk menggantung mana-mana negeri terbabit daripada menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa bagi beberapa tempoh berikutan penyalahgunaan bahan larangan.

"PABM komited membanteras isu penyalahgunaan bahan larangan ini dengan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang terlibat. Ia akan diputuskan setelah menerima keputusan penuh dari Panel Pendengaran yang akan ditubuhkan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) nanti.

"Baru-baru ini PABM membubarkan skuad kebangsaan rentetan dari isu doping membabitkan dua atlet kebangsaan. PABM akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), ADAMAS dan Institut Sukan Negara (ISN), bagi membunuh musuh nombor satu dalam sukan ini," katanya menerusi kenyataan.

Ayub berkata PABM sentisa menjemput ADAMAS untuk memberikan taklimat dan melakukan ujian doping kepada atlet yang bertanding dalam kejohanan-kejohanan yang diadakan.

Beliau turut menekankan semua pengambilan bahan suplemen, produk, ubatan dan herba perlu dirujuk terlebih dahulu dengan MSN, ADAMAS atau ISN, bagi mengelakkan atlet mengambil bahan terlarang yang tidak dibenarkan dalam sukan.

Dua hari lalu, Pengarah ADAMAS Azura Abidin mengesahkan seorang badang wanita berusia 22 tahun, didapati positif doping penggunaan bahan terlarang jenis sibutramine pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan yang berlangsung di Rompin, Pahang pada Oktober tahun ini.

Pada Mei lalu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari turut positif doping, yang menyaksikan PABM membubarkan skuad angkat berat kebangsaan, mengakibatkan semua empat jurulatih dan 13 atlet diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November lalu.

PABM pada 2018 mengenakan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus, kerana positif doping.

- BERNAMA

Berita Harian X