Khamis, 2 Disember 2021 | 9:33pm
Gambar faill - Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
Gambar faill - Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Pengadil ISTAF, ASTAF ditegah adili saingan STL

KUALA LUMPUR: Pengadil Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dari Malaysia diingatkan supaya tidak terbabit dalam kejohanan Sepak Takraw League (STL) yang dijadualkan dari 7 Januari hingga 27 Mac ini.

Ketegasan itu disuarakan ASTAF selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disingkirkan sebagai ahli pada Mei lalu dan sekiranya dikesan, pengadil boleh dikenakan tindakan disiplin dibawah peraturan dan undang-undang badan induk Asia berkenaan.

"Sebagai pengadil yang dilantik ASTAF/ISTAF, kamu tidak dibenarkan menyertai STL sebagai pengadil dan/atau jurulatih dan/atau pegawai dan/atau penonton yang dianjurkan oleh bekas ahli ASTAF (PSM) yang disingkirkan ASTAF pada 20 Mei 2021.

"Persatuan Sepak Takraw Malaysia atau PSM perlu mematuhi peraturan ASTAF memandangkan proses rayuannya sudah pun berakhir dan mereka harus mematuhi keputusan Lembaga Disiplin," kata Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat dalam satu kenyataan, hari ini.

"Memandangkan kamu adalah pengadil berlesen dari ASTAF dan/atau ISTAF, maka kamu terikat dengan peraturan pengadil ASTAF/ISTAF dan wajib menghormati semua undang-undang dan peraturan yang terpakai selain perlu menunjukkan komitmen beretika.

"Tambahan pula, komitmen dan kewajiban kamu sebagai pengadil ASTAF/ISTAF seperti yang disebut dalam peraturan, peraturan dan nasihat ASTAF/ISTAF untuk semua pengadil seperti yang tertera dalam artikel 1.1 iaitu pengadil tidak boleh berkhidmat dalam mana-mana pertandingan tanpa kebenaran sewajarnya daripada ISTAF dan/atau ASTAF dan/atau ahli Persekutuan Negara Gabungannya.

"Pelanggaran ini akan dikenakan siasatan dan jika didapati bersalah, akan dikenakan tindakan tatatertib,".

Berita Harian X