Selasa, 23 November 2021 | 2:23pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (enam dari kiri) bersama pasukan Todak dan Team SMG yang menyertai Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 di KLIA, sebelum mereka berlepas ke Singapura, pagi tadi. - Foto ihsan Facebook Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (enam dari kiri) bersama pasukan Todak dan Team SMG yang menyertai Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 di KLIA, sebelum mereka berlepas ke Singapura, pagi tadi. - Foto ihsan Facebook Faizal Azumu.

LTdL kembali dianjurkan tahun depan

SEPANG: Selepas edisi tahun ini tidak dapat diadakan berikutan pandemik COVID-19, perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali dianjurkan pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tarikh perlumbaan berstatus 2.Pro (kategori SiriPro) itu akan ditentukan oleh penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd.

"Tahun ini tidak dapat diadakan disebabkan pandemik yang mana pintu sempadan negara pun masih belum dibuka. Namun, sekarang bila ia sudah dibuka saya harap tiada masalah besar untuk kita kembali anjurkan.

"Saya juga berharap pihak penganjur sudah bersedia untuk memastikan penganjuran tahun depan dapat dilaksanakan dengan penuh meriah di seluruh negara," katanya selepas hadir menyaksikan peserta bagi Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 berlepas ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab dalam laporan yang dipetik daripada Bernama sebelum ini memaklumkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sudah memberikan pilihan tarikh penganjuran pada Januari dan Mac depan, selepas edisi tahun ini terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

16 pasukan sudah menghantar permohonan untuk menyertai jelajah berbasikal berstatus siri profesional itu. Menurut laman sesawang UCI, LTdL disenaraikan untuk penganjuran bermula 16 hingga 23 Januari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menyalurkan peruntukan yang diperlukan kepada penganjur bagi penganjuran LTdL tahun depan seperti termaktub dalam kontrak membabitkan kedua-dua pihak.

Berita Harian X