Jumaat, 24 September 2021 | 8:23pm
Gambar fail - Pengurus pasukan hoki lelaki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi.
Gambar fail - Pengurus pasukan hoki lelaki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi.

Mirnawan serap budaya baru dalam skuad Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Membentuk budaya beraksi sebagai satu pasukan, sikap berprestasi tinggi dan menerapkan minda pemenang adalah antara perkara yang dituntut daripada skuad hoki kebangsaan pada Siri Jelajah United Kingdom (UK) 2021.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, pihaknya mahu menerapkan budaya kepentingan pasukan melebihi kepentingan individu dalam kalangan pemain skuad 'The Speedy Tigers' yang bakal mengharungi 10 perlawanan sepanjang siri itu.

Pada masa sama, bekas kapten skuad kebangsaan itu menekan bahawa dua aksi ujian menentang Ireland pada 5 dan 6 Oktober di Lisnasharragh, Belfast, penting untuk menjaga ranking pasukan itu yang kini menduduki tangga ke-11 dunia.

"Kita juga ingin terapkan pendekatan baharu kepada para pemain. Mereka bukan seharusnya berfokus menang ke atas Ireland sahaja, malah sikap berdaya saing ini harus diterapkan dalam semua perlawanan.

"Pasukan kita harus menggunakan Siri UK ini dengan sebaik yang mungkin untuk meningkat ke tahap seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Mirnawan berkata skuad negara yang tiba di Pusat Sukan Nasional Bisham Abbey, Ahad lalu, berjaya menyesuaikan diri dengan iklim dan perbezaan masa serta selesa dengan makanan halal yang disediakan.

Beliau berkata walaupun masih menjalani kuarantin selama lima hari, skuad itu dibenarkan menjalani latihan selepas semua ahli pasukan didapati negatif dalam ujian calitan pada hari kedua.

Menurutnya, skuad Speedy Tigers akan terus berlatih di Bisham Abbey sehingga menamatkan empat aksi persahabatan menentang pasukan bertaraf kelab yang dibarisi oleh rata-rata pemain skuad Olimpik Great Britain - Old Georgians pada Ahad ini, diikuti Surbiton HC (28 September), Hampstead & Westminster HC (29 September) dan Beeston HC (1 Oktober)

Malaysia kemudian akan menentang Ireland, disusuli perlawanan persahabatan menentang Wales (9 dan 12 Oktober) masing-masing di Pusat Hoki Wales dan Pusat Hoki Reading, sebelum melengkapkan Siri Jelajah UK menentang Perancis (15 dan 18 Oktober) di Pusat Hoki Wales.

- BERNAMA

Berita Harian X