Rabu, 4 Ogos 2021 | 9:39pm
Atlet negara, Pandelela Rinong ketika membuat terjunan dalam acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto EPA.
Atlet negara, Pandelela Rinong ketika membuat terjunan dalam acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto EPA.

OLIMPIK: Pandelela cemas, kepala hampir terkena platform

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengharungi detik cemas di sebalik kejayaannya melangkah ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Ini selepas kepalanya hampir terkena platform ketika melakukan terjunan keempat sekali gus menimbulkan rasa takut dan menjejaskan pungutan mata atlet berusia 28 tahun itu. Pada terjunan keempat itu, juara Piala Dunia 2021 berkenaan mengutip mata terendah dengan catatan 28.80 mata.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen ketika berkongsikan perkara berkenaan, berkata biarpun Pandelela dilihat kekal tenang tetapi sebenarnya dia agak trauma dengan detik mencemaskan itu.

"Lela pada terjunan yang keempat sangat dekat dengan platform sehingga rambutnya terkena pada platform menyebabkan dia hilang fokus. Dia sangat takut (dengan situasi itu)," kata Mae Chen ketika dihubungi BH Sukan.

Terdahulu, Pandelela terpaksa menunggu sehingga saat akhir bagi melayakkan diri apabila menamatkan aksi pusingan kelayakan di kedudukan ke-18 iaitu slot terakhir untuk layak ke separuh akhir.

Dia yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu di Sukan Olimpik London 2012 mengutip 284.90 mata dalam lima terjunan.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-26 dengan 251.80 mata.

Hanya 18 penerjun teratas dalam aksi pusingan kelayakan mara ke saingan separuh akhir yang dijadual berlangsung, esok.

"Jun Hoong pula beraksi di bawah prestasi sebenarnya. Agak mengecewakan apabila dia gagal melangkah ke pusingan seterusnya," kata Mae Chen.

Pada saingan kelayakan, hari ini, ia diungguli penerjun China, Chen Yuxi yang mengutip keseluruhan 390.70 mata, diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan dengan catatan 364.45 mata manakala atlet Amerika Syarikat, Delaney Schnell ketiga dengan 360.75 mata.

Berita Harian X