Rabu, 4 Ogos 2021 | 5:16pm
Aksi penerjun negara, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto EPA.
Aksi penerjun negara, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto EPA.

OLIMPIK: Pandelela mara separuh akhir, Jun Hoong terkandas

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong cemas sebelum mara ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform individu wanita Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, sebentar tadi.

Pandelela, 28, terpaksa menunggu sehingga saat akhir bagi melayakkan diri apabila menamatkan pusingan kelayakan di Pusat Akuatik Tokyo di kedudukan ke-18 iaitu tempat terakhir bagi layak ke separuh akhir.

Dia yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu di Sukan Olimpik London 2012 mengutip 284.90 mata dalam lima terjunan.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-26 dengan 251.80 mata.

Hanya 18 penerjun teratas dalam aksi pusingan kelayakan mara ke saingan separuh akhir yang dijadual berlangsung, esok.

Saingan kelayakan, hari ini diungguli penerjun China, Chen Yuxi yang mengutip keseluruhan 390.70 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan dengan catatan 364.45 mata manakala atlet Amerika Syarikat, Delaney Schnell ketiga dengan 360.75 mata

Berita Harian X