Khamis, 8 April 2021 | 9:00am
Gambar fail - Keadaan kenderaan SUV yang dipandu Tiger Woods selepas terbabit dalam kemalangan di Rancho Palos Verdes, California pada 23 Februari lalu. - Foto AFP
Gambar fail - Keadaan kenderaan SUV yang dipandu Tiger Woods selepas terbabit dalam kemalangan di Rancho Palos Verdes, California pada 23 Februari lalu. - Foto AFP

Punca kemalangan Woods didedahkan

LOS ANGELES: Tiger Woods memandu dalam keadaan `tidak selamat' pada kelajuan hampir sekali ganda pada had 45 batu sejam ketika kemalangan di California pada 23 Februari lalu, kata Sheriff Los Angeles County, hari ini.

Kenderaan SUV dipandu Woods dipandu sehingga 87 batu sejam (140 kilometer) sebelum terbabas dan bergolek beberapa kali ketika kemalangan dekat Ranchos Palos Verdes, menyebabkan juara 15 kali Major itu cedera teruk di kaki kiri.

"Faktor utama penyebab kemalangan ini ialah memandu pada kelajuan tidak selamat dalam keadaan jalan raya dan kegagalan mengawal kenderaan di selekoh jalan," kata Alex Villanueva.

"Jangkaan kelajuan pada kawasan pertama berlaku kemalangan ialah 84 hingga 87 batu sejam."

Tiada tanda kesilapan atau bukti 'pemanduan terganggu' dan Woods secara sukarela membenarkan keputusan siasatan itu didedahkan kepada umum, kata pegawai.

Woods, 45, mungkin secara tidak sengaja menekan pedal minyak dan bukan brek ketika hilang kawalan, kata Kapten James Powers walaupun Woods sendiri tidak mengingati kemalangan itu.

Kedua-dua pegawai berkata pemain golf itu tidak diberikan layanan istimewa dan dia tidak didakwa kerana memandu dengan laju kerana tiada saksi atau polis ketika itu.

Woods tidak akan dikenakan sebarang dakwaan jenayah.

- AFP

Berita Harian X