Rabu, 3 March 2021 | 3:23pm
Ridzuan, Latif dan Ziyad menerima kunci rumah secara maya daripada Naza. - Foto MSN
Ridzuan, Latif dan Ziyad menerima kunci rumah secara maya daripada Naza. - Foto MSN

Ziyad, Dekwan, Latif akhirnya dapat rumah

KUALA LUMPUR: Seperti dijanjikan, tiga atlet paralimpik yang mengharumkan nama negara di pentas Sukan Paralimpik Rio 2016 menerima habuan masing-masing daripada pihak Naza Corporation Holdings.

Tiga pemenang pingat emas, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly menerima habuan berkenaan dalam satu majlis penyerahan kunci rumah yang dilakukan secara maya, hari ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, habuan diterima ketiga-tiga atlet itu sudah tentu bakal menjadi pembakar semangat buat mereka yang akan menyertai temasya paralimpik Tokyo 2020 tahun ini. "Sebagai Presiden MPM, saya berterima kasih kepada pihak Naza TTDI terutama (pengerusi) Datuk Jasmy (Ismail) kerana dengan kepimpinan beliau, alhamdulillah kediaman yang dijanjikan dapat ditunaikan.

"Untuk Ziyad, Dekwan (Ridzuan) dan Latif, gunakan sebaik mungkin dan ini adalah hadiah daripada hasil yang kamu curahkan kepada negara. Jadi hargai sebaik mungkin.

Selain itu, ini juga bakal menjadi contoh inspirasi buat atlet lain yang bakal beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo nanti," katanya.

Megat turut berharap lebih banyak syarikat korporat menghulurkan sokongan kepada barisan atlet seperti insentif dilakukan Naza sekali gus membakar semangat mereka untuk meraih lebih banyak pingat emas.

Lima tahun lalu, Ridzuan meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara 100m T36 (celebral palsy), manakala Ziyad pula melakar kilauan pingat sama dengan mencipta rekod dunia baharu dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Emas ketiga negara dihadiahkan Latif dalam acara lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual) lelaki dengan catatan 7.60 meter yang turut memecahkan rekod dunia.

Berita Harian X