Ahad, 28 Februari 2021 | 8:05pm
Shah Firdaus (tengah) dan Azizulhasni (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah.
Shah Firdaus (tengah) dan Azizulhasni (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah.

Shah Firdaus kalahkan Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom membuktikan kemampuannya dalam acara keirin apabila memenangi Kejuaraan Keirin Victoria 2021, hari ini.

Lebih menggembirakan, kejayaan itu boleh dianggap sebagai ulangan penamat 1-2 buat skuad negara di Kejohanan Trek Elit Victoria minggu lalu apabila kali ini rakan seperjuangan, Azizulhasni Awang meraih tempat kedua di Pusat Sukan Antarabangsa Darebin, Australia.

Dalam hantaran di laman Instagram, Azizulhasni berkata, kejayaan dilakar Shah Firdaus itu secara tidak langsung membuktikan betapa rakannya itu juga mempunyai potensi besar untuk membawa kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo nanti.

"@shahfirdaus95 membuktikan yang beliau juga mempunyai potensi besar untuk membawa kejayaan di Olimpik Tokyo nanti selepas mengalahkan saya dalam acara keirin hari ini," kata Azizulhasni.

"Beliau beraksi dengan cemerlang untuk merangkul kejayaan di tempat pertama, saya di tempat kedua manakala Ned Pollard dari Victorian Institute of Sports (VIS) di tempat ketiga. Jutaan terima kasih daripada saya kepada semua yang datang (penyokong) memberikan sokongan kepada kami berdua tadi. Malaysia boleh Malaysia."

Minggu lalu, Azizulhasni dan Shah Firdaus yang berada dalam fasa latihan menjelang Tokyo 2020 meraih penamat 1-2 dalam acara pecut di Kejohanan Trek Elit Victoria yang berlangsung di venue sama.

Untuk rekod, Azizulhasni dan Shah bukanlah satu nama asing dalam saingan domestik di Australia dan kedua-dua wakil Malaysia ini masing-masing pernah meraih emas dan gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Australia di Brisbane, Disember lalu.

Kedua-dua atlet ini berpangkalan di Melbourne dan berlatih di bawah kendalian ketua jurulatih trek kebangsaan, John Beasley.

Berita Harian X