Selasa, 23 Februari 2021 | 2:52pm
Shahrul (kiri) menyerahkan cenderahati bola ragbi ketika melakukan kunjungan hormat bertemu Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, semalam.
Shahrul (kiri) menyerahkan cenderahati bola ragbi ketika melakukan kunjungan hormat bertemu Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, semalam.

Stadium RM17 juta tiada masalah

KUALA LUMPUR: Pembinaan Stadium Ragbi Negara di Putrajaya berjalan lancar dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi komitmen dalam segenap aspek bagi merealisasikan stadium sulung bagi sukan berkenaan.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, komitmen itu dizahirkan Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain selepas beliau mengadakan kunjungan hormat ke PPj, semalam.

"Presiden PPj memberi komitmen untuk membantu semua aspek bagi menyelesaikan pembinaan stadium," kata Shahrul Zaman mengenai hasil perbincangan bersama Muhammad Azmi berhubung pembinaan stadium yang sebelum ini dilaporkan bakal dibina di Presint 13, Putrajaya.

Sebelum ini, media melaporkan pasukan ragbi negara bakal mempunyai stadium sendiri yang bernilai RM17 juta sekali gus menjadi mercu tanda kebanggaan sukan berkenaan di Malaysia.

Stadium sulung ragbi itu mampu menampung kapasiti penonton sehingga 5,000 orang dalam satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersil dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

Sementara itu, Shahrul turut mengunjungi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bagi membincangkan cadangan mengadakan Liga Super Varsiti - satu liga kesinambungan kepada kejohanan Super 8 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Dalam pertemuan itu, Shahrul turut mengemukakan cadangan pengambilan pemain atau pelajar dari negara seperti Fiji dan kepulauan yang lain untuk ditempatkan di politeknik bagi projek Ragbi Piala Dunia.

"Secara prinsipnya, KPT bersetuju untuk memberikan tempat kepada pemain atau pelajar dari Fiji atau negara kepulauan yang lain untuk mereka bermain di Malaysia dan selepas lima tahun sekiranya layak, boleh mewakili pasukan kebangsaan," kata Shahrul.

Berita Harian X