Sabtu, 23 Januari 2021 | 8:28pm
Pasukan TSG sudah dapat kelulusan berlatih dan menyertai kejohanan di Turki.
Pasukan TSG sudah dapat kelulusan berlatih dan menyertai kejohanan di Turki.

TSG dapat kelulusan 'terbang' ke Turki

KUALA TERENGGANU: Berita gembira buat pelumba pasukan berbasikal bertaraf benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) apabila sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk 'terbang' ke Turki menyertai kejohanan di negara itu.

Pengesahan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood yang menjelaskan kebenaran daripada Jabatan Imigresen itu diperoleh 20 Januari lalu.

"Alhamdulillah kita sudah mendapat kebenaran untuk berlatih dan menyertai kejohanan berbasikal di Turki pada Februari ini sebagaimana yang dipaparkan dalam sistem.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Terengganu dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana memberi kelulusan kepada pasukan TSG ke Turki.

"Mengikut jadual kita akan berlepas pada 1 Februari ini, namun ia juga bergantung kepada tiket penerbangan dan urusan lain yang berkaitan, tapi kita harapkan urusan itu nanti dipermudahkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TSG akan menyertai enam kejohanan berstatus 1.2 (Grand Prix) bermula 6 Februari berikutan dua jelajah iaitu Tour du Rwanda, Afrika ditunda pada Mei 2021 dan Tour of Antalya, Turki yang belum ditetapkan lagi tarikh.

"TSG yang 'berkampung' selama sebulan di Turki kini menumpukan pada enam kejohanan berstatus 1.2 bermula Grand Prix Alanya, Grand Prix Gazipasa, Grand Prix Velo Manavgat, Grand Prix Velo Alanya, Grand Prix Mediterranean dan Grand Prix Gundogmus.

"Kita harapkan semua pelumba dapat meningkatkan pencapaian dan merangkul kejuaraan di sana selepas sedikit suram musim lalu selepas tidak menyertai kejohanan bermula Mac berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia," katanya.

Berita Harian X