Ahad, 17 Januari 2021 | 9:11pm
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. - Foto BERNAMA.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. - Foto BERNAMA.

TSG harap dibenarkan 'berkayuh' di Turki

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) masih lagi menunggu 'lampu hijau' daripada Jabatan Imigresen untuk membolehkan mereka berlumba di Antalya, Turki pada bulan depan.

Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berharap pasukan bertaraf benua Asia itu akan mendapat kelulusan jabatan berkenaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum bertolak pada 1 Februari ini.

"Kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk TSG ke luar negara sudah pun kita perolehi. Buat masa ini, kita perlu bersabar menunggu kelulusan daripada Imigresen dan KDN. Lagi pun masih ada lebih kurang dua minggu lagi sebelum berangkat.

"Kami berkeyakinan atas semangat kesukanan, kebenaran itu dapat diberikan bagi memastikan TSG dapat berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara kerana misi kita adalah untuk memburu mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Lagipun, jika kita lihat pasukan badminton negara sudah pun beraksi di luar negara menyertai Terbuka Thailand," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Che Ku Mohd Izmuddin mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 serta proklamasi darurat negara sedikit sebanyak turut merumitkan lagi situasi buat TSG untuk beraksi di luar negara.

"Dengan tempoh PKP sekarang, kita akur jika pihak kerajaan tidak membenarkan TSG beraksi di luar negara. Tapi jika dibenarkan, kita akan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana faktor keselamatan dan kesihatan itu menjadi keutamaan," katanya yang turut mengesahkan TSG juga dijemput beraksi dalam Jelajah Rwanda di Afrika.

Pada 10 Januari lalu, TSG mengumumkan 14 pelumba termasuk enam import bagi musim ini. Paling mencuri tumpuan kehadiran semula bekas pelumbanya, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang sebelum ini menyarung jersi Sapura Cycling Team (TSC).

Berita Harian X