Khamis, 10 Disember 2020 | 9:40pm
 Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) mengadakan pertemuan dengan bekas juara rali dunia, Karamjit Singh dan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) di Parlimen. - Foto ihsan FB Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) mengadakan pertemuan dengan bekas juara rali dunia, Karamjit Singh dan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) di Parlimen. - Foto ihsan FB Reezal Merican Naina Merican.

YAKEB ingin bertemu MAM bincang penyertaan

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) sekali lagi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dalam usaha merangka satu had kelayakan bagi membolehkan atlet sukan permotoran menyertai badan berkenaan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata buat masa ini had minimum kelayakan untuk atlet negara menyertai badan itu adalah mewakili negara di Sukan SEA sekali gus perlu menilai tahap sesuai yang bersamaan temasya dwi tahunan itu untuk atlet sukan permotoran.

Justeru, YAKEB yang menjadi perantara bagi pertemuan antara bekas juara rali dunia, Karamjit Singh dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Parlimen hari ini mahu 'duduk semeja' bersama MAM bagi mencari jalan terbaik dalam usahasama membantu atlet sukan permotoran yang berdepan masalah terutamanya selepas persaraan.

"Sehingga hari ini, kita belum ada (had) kelayakan untuk sukan permotoran ini (menyertai YAKEB). Untuk sukan lain termasuk atlet para, kita ada (had) minimum iaitu kena mewakili negara di Sukan SEA.

"Tapi untuk sukan permotoran belum lagi kerana di Sukan SEA tiada perlumbaan rali mahupun F1 (Formula Satu). Jadi saya harap Persatuan Sukan Permotoran Malaysia akan dapat berjumpa dan kita (YAKEB dan MAM) akan buat tahap kelayakan mereka.

"Saya ingin ahli pelumba permotoran menjadi ahli YAKEB sebab mereka pun pernah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Sebelum ini, kita ada mengesyorkan kepada MAM untuk berbincang termasuk bersama MSN (Majlis Sukan Negara) untuk membuat satu (had) kelayakan supaya mereka (atlet sukan permotoran) dapat menjadi ahli YAKEB," kata Noorul.

Awal tahun lalu, BH Sukan melaporkan YAKEB bersedia mempertimbangkan keahlian atlet sukan permotoran dua roda mahupun empat roda dalam usaha membolehkan mereka menerima bantuan terutama daripada sudut kebajikan, sama seperti bekas atlet yang menjadi ahli yayasan.

Kenyataan Noorul itu adalah berdasarkan laporan khas BH Sukan berhubung permintaan juara Asia dalam kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman yang mahukan keringat atlet sukan permotoran turut diangkat sama seperti atlet lain di Malaysia.

Berita Harian X