Jumaat, 4 Disember 2020 | 10:37pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kanan) meluangkan masa melawat Justin di kediamannya di Papar, Sabah. - Foto ihsan pembaca BH.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kanan) meluangkan masa melawat Justin di kediamannya di Papar, Sabah. - Foto ihsan pembaca BH.

Justin Sompong kini berkerusi roda

KOTA KINABALU: Bekas juara bina badan Asia, Justin Sompong, kini dilaporkan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas diserang angin ahmar pada Julai dan Ogos lalu.

Justin, 68, bagaimanapun dilaporkan sudah mula menunjukkan perkembangan positif untuk proses pemulihan berbanding keadaannya dua bulan lalu.

Hari ini, juara Asia 1985 itu menerima kunjungan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, di kediamannya di Papar, dekat sini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata Justin menunjukkan tindak balas yang baik ketika beliau melihat keadaannya.

"Dia masih ada kekuatan. Genggamannya masih kuat dan saya percaya semangat dan kekuatannya itu dapat menyembuhkannya," katanya.

Jeffrey turut menyampaikan sumbangan kepada Justin sebagai menghargai sumbangannya kepada sukan bina badan di Sabah dan negara ini.

Semalam, Justin menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sukan bina badan di negara ini.

Berita Harian X