Jumaat, 4 Disember 2020 | 4:50pm
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Atlet olahraga negara dijangka boleh beraksi Mac 2021

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara berkemungkinan besar hanya dapat beraksi dalam kejohanan kelayakan Olimpik pada Mac tahun depan, lebih tiga bulan selepas tempoh kelayakan bersambung semula pada Selasa lalu hingga 29 Jun.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata segala perancangan membabitkan atlet negara bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 pada awal tahun depan.

"Buat masa ini kita tidak dapat anjurkan kejohanan dan belum mendapat jemputan untuk apa-apa kejohanan bagi 2021. Kita menjangkakan bulan Mac hingga Jun depan menjadi tempoh yang sibuk dengan kejohanan.

"Kita juga berharap Terbuka Malaysia boleh diadakan pada awal tahun depan untuk memberikan peluang kepada atlet kita meraih mata kelayakan. Sekiranya keadaan beransur pulih, baru kita dapat melakukan perancangan yang lebih sistematik," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Mohd Manshahar, jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa yang sedang menjalani latihan di Eropah juga harus menunggu sehingga kejohanan kembali diadakan pada Mac depan.

"Mereka sedang menjalani conditioning sekarang. Oleh kerana musim sejuk di Eropah, hanya kejohanan dalam dewan akan diadakan pada awal tahun, lepas itu baru akan ada kejohanan luar," katanya.

Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo ditangguh sejak 6 April lalu selepas temasya sukan itu ditangguh ke Julai 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Dengan keadaan kes COVID-19 sedang meningkat di negara ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terpaksa menangguhkan Kejohanan Terbuka Malaysia ke tahun depan dan hanya mengadakan kejohanan simulasi pada 12 dan 13 Disember ini dengan keputusan kejohanan itu tidak boleh diambil kira sebagai kelayakan Olimpik.

Mohd Manshahar berkata kejohanan simulasi itu membabitkan acara larian 100 meter (m), 200m dan 400m, semua acara balingan kecuali merejam lembing serta semua acara lompatan kecuali lompat bergalah.

Acara larian jarak sederhana dan jauh pula tidak diadakan berikutan kekurangan atlet bagi acara itu kerana kejohanan tersebut hanya membabitkan atlet yang menjalani latihan secara kuarantin di Bukit Jalil.

- BERNAMA

Berita Harian X