Khamis, 3 Disember 2020 | 10:35pm
Pemain ragbi kebangsaan, Amin Jamaluddin. - Foto ihsan Ragbi.MY.
Pemain ragbi kebangsaan, Amin Jamaluddin. - Foto ihsan Ragbi.MY.

Amin harap beraksi penuh musim baharu di Jerman

KUALA LUMPUR: Pemain ragbi kebangsaan, Amin Jamaluddin berharap dirinya dapat bermain secara penuh dan tanpa sebarang gangguan pada musim penyertaannya di Jerman tahun depan.

Amin, 31, selamat tiba dari Jerman kelmarin selepas menjalani kem latihan selama tiga bulan bersama kelab TV Pforzheim.

Begitupun, timbul kebimbangan dalam dirinya mengenai ketidaktentuan permulaan musim baharu liga Jerman yang sepatutnya dijadual berlangsung pada Mac tahun depan - musim ketiganya bermain bersama kelab berkenaan.

"Pada masa ini, kami diberitahu yang liga (Jerman) boleh bermula sama ada pada Mac, April atau pun Mei. Semuanya bergantung kepada situasi semasa COVID-19," kata Amin, yang kini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

"Saya memang menantikan untuk bersaing secara musim penuh tahun depan kerana ketika ini, saya berdepan situasi tidak menentu. Saya menyertai mereka pada penghujung musim tahun lalu (2019) dan hanya dapat bermain kira-kira sebulan saja dalam liga.

"Liga tahun ini (2020) dijadual berlangsung pada Mac hingga Mei tetapi terpaksa ditangguh sebelum dibatalkan kerana COVID-19, jadi saya tidak dapat bermain sebarang perlawanan kompetitif.

"Malah, ketika kem latihan terbaru (yang bermula September), kami sepatutnya bermain lapan perlawanan persahabatan tetapi berakhir dengan satu perlawanan saja. Ini kerana, bilangan pemain dalam pasukan yang kami sepatutnya bermain, dikesan dijangkiti COVID-19.

"Saya berharap situasi akan menjadi lebih baik tahun depan. Saya gembira bermain di Jerman, ia satu pengalaman baharu untuk saya. Sukan ini semakin berkembang di sana."

Berita Harian X