Khamis, 3 Disember 2020 | 10:16pm
Bekas juara dunia bina badan empat kali, Lillian Tan. - Foto ihsan rojakdaily.
Bekas juara dunia bina badan empat kali, Lillian Tan. - Foto ihsan rojakdaily.

Lilian Tan beri bayangan keluar persaraan

KUALA LUMPUR: Lilian Tan memberi bayangan untuk keluar daripada persaraan untuk memberi peluang kepada dirinya menyertai acara bina badan yang dipertandingkan pada Sukan SEA Vietnam, tahun depan.

Bekas juara dunia empat kali yang bersara pada 2018 itu mengakui dirinya teruja untuk beraksi di Sukan SEA apatah lagi dirinya tidak pernah menyertai mana-mana di temasya dwi tahunan berkenaan sebelum ini.

"Pada awalnya, ketika ditanya sama ada saya akan mempertimbangkan untuk keluar daripada persaraan untuk Sukan SEA tahun depan, jawapan saya adalah tidak," kata Lilian yang ketika ini menggalas tugas sebagai jurulatih persendirian.

"Namun, untuk beberapa ketika, saya mula memikirkan mengenainya (Sukan SEA) dengan lebih kerap. Ini kali pertama acara untuk wanita disenaraikan di Sukan SEA. Sebelum ini, hanya ada kategori lelaki saja di Sukan SEA jadi ini adalah seperti peluang seumur hidup.

"Sehingga ini, saya masih belum dapat membuat keputusan sama ada saya akan menyertai (Sukan SEA) ataupun tidak. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Pada masa ini, saya mempunyai tugas dengan kejurulatihan dan juga latihan yang perlu difikirkan."

Begitupun, Lilian berkemungkinan membuat keputusan sebelum hujung tahun ini dengan dirinya perlu mempersiapkan diri menjelang temasya yang dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan.

"Saya perlu meneruskan latihan apatah lagi saya sudah bersara tetapi ia tidak akan berlaku dengan intensiti yang sama sebelum ini," kata Lilian.

"Ketika saya bertanding di kejuaraan dunia, saya perlu mengambil masa dua tahun penuh untuk melakukan persiapan bagi setiap edisi pertandingan.

"Saya sentiasa mahu mempertingkatkan diri bagi setiap edisi kejohanan, saya sentiasa mahu memberikan sesuatu yang baharu. Jadi sekiranya saya memutuskan untuk bertanding di Sukan SEA tahun depan, saya perlu memulakan latihan bermula Januari lagi. Ini bermakna, saya perlu membuat keputusan sebelum hujung tahun ini," katanya.

Berita Harian X