Rabu, 2 Disember 2020 | 8:36pm
Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj.
Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj.

Ketiadaan import dijangka jejas standard MHL 2021

KUALA LUMPUR: Kemungkinan ketiadaan kelibat pemain import beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan dari 8 Januari hingga 28 Februari boleh menyebabkan standard dan tahap persaingan dalam kejohanan itu menurun.

Jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus dengan pendirian untuk menutup pintu sempadan kepada warga asing di tengah-tengah pandemik COVID-19, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terpaksa menjalankan liga kebangsaan itu tanpa pemain asing.

Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj mengakui pemain import berkualiti seperti Jang Jong-hyun dari Korea Selatan yang beraksi untuk Pasukan Hoki Terengganu (THT) telah menaikkan standard liga itu.

"Sudah tentu ada baik dan buruknya tetapi apabila kami bercakap mengenai pemain import berkualiti, mereka memang memberikan impak kepada pasukan dan liga.

"Daripada pengalaman saya melatih UniKL pada masa lalu, minda dan pendekatan mereka terhadap latihan dan perlawanan adalah berbeza. Jadi apabila pemain tempatan melihat perwatakan dan disiplin mereka yang baik, mereka mengikutinya," katanya kepada Bernama.

Tanpa mengira jika pemain import ada atau tidak, Arul mahu melihat perubahan dalam kalangan anak buahnya dan meletakkan satu penanda aras serta menaikkan standard mereka sebagai pelatih pasukan kebangsaan di dalam liga.

"Inilah masanya untuk mereka mempamerkan kekuatan individu dan mengambil tanggungjawab dalam pasukan dan membuktikan nilai mereka sebagai seorang pemain kebangsaan. Setakat ini mereka bekerja keras dalam latihan pasukan kebangsaan," katanya.

Arul dijangka melepaskan pemain-pemain ke pasukan masing-masing sebelum Krismas untuk persiapan liga dan mereka akan dipanggil balik melaporkan diri ke pasukan kebangsaan sebaik sahaja liga berakhir untuk persiapan Piala Juara-Juara Asia dijadualkan dari 11 hingga 19 Mac di Dhaka, Bangladesh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran MHL 2021 mendapat persetujuan daripada Lembaga Eksekutifnya dan dijangka dikemukakan kepada MKN minggu ini.

"Terpulang kepada pasukan atau kelab bertanding di dalam liga untuk mendapatkan kelulusan membawa masuk pemain asing dalam masa pandemik kerana keadaan masih lagi tidak kembali normal. Keutamaan kami sekarang ialah mendapatkan lampu hijau untuk MHL berlangsung.

"Biarpun pasukan mendapat kelulusan untuk pemain asing, prosedurnya tidak mudah kerana pemain perlu menjani ujian swab dan menjalani kuarantin selama 14 hari kerana kami tidak mahu ada kluster hoki. Saya rasa Malaysia ada pemain berkualiti beri mereka peluang meningkatkan permainan mereka," kata beliau.

- BERNAMA

Berita Harian X