Rabu, 2 Disember 2020 | 3:50pm
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. - Foto BERNAMA

TSG umum senarai pelumba awal bulan depan

KUALA LUMPUR: Pasukan benua tempatan, Terengganu Inc Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka memuktamadkan senarai akhir pelumba yang akan mewakili pasukan berkenaan pada musim hadapan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata majlis pengenalan pelumba pasukan akan diadakan di Kuala Terengganu pada awal bulan depan sebelum mereka berlepas ke Turki bagi menyertai beberapa kejohanan di negara berkenaan.

TSG diwakili oleh 16 pelumba termasuk lapan pelumba asing pada musim ini.

"Senarai pelumba pada musim 2021 masih belum diputuskan kerana perbincangan sedang dijalankan sebelum senarai akhir akan diketahui pada majlis pengenalan pasukan di Kuala Terengganu pada awal Januari tahun hadapan.

"Beberapa pelumba asing kita masih berada di negara masing-masing dan mereka dijangka kembali ke Kuala Terengganu dalam tempoh terdekat. Kos rawatan mereka bagi menjalani saringan COVID-19 akan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Che Ku Mohd Izmuddin turut memaklumkan beberapa pelumba pasukan profesional luar negara yang berminat menyarung jersi pasukan itu, namun pengurusan pasukan perlu menilai latar belakang pelumba itu selain melihat kekangan kewangan berikutan penarikan diri beberapa penaja akibat COVID-19.

Beliau mengesahkan TSG bakal menyertai lima kejohanan di Turki pada Februari 2021 termasuk satu kejohanan berstatus 2.1 (perlumbaan peringkat) iaitu Jelajah Antalya dari 11 hingga 14 Februari.

Empat kejohanan lain adalah Grand Prix (GP) Alanya pada 6 Februari, GP Gazipasa (7 Februari), GP Velo Manavgat (20 Februari) serta GP Velo Alanya (21 Februari), dan semua perlumbaan berkenaan berstatus 1.2 (perlumbaan sehari).

Pasukan benua tempatan itu turut mendapat jemputan menyertai Jelajah Rwanda yang berstatus 2.1 dari 21 hingga 28 Februari 2021.

TSG muncul pasukan kedua terbaik Jelajah Asia pada musim ini, selepas mengumpul 864 mata, manakala satu lagi pasukan benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) adalah juara menerusi kutipan 1,113 mata.

- BERNAMA

Berita Harian X