Ahad, 22 November 2020 | 6:18pm
Jurulatih pelayaran kebangsaan, Afendy Abdullah - Foto NSTP/Mohamad Shahril Saali Badri.
Jurulatih pelayaran kebangsaan, Afendy Abdullah - Foto NSTP/Mohamad Shahril Saali Badri.

Program pembangunan jangka panjang sukan pelayaran diperkenal

KUALA LUMPUR: Kem pelayaran kebangsaan akan mewujudkan satu program pembangunan jangka panjang dalam usaha melahirkan pelapis baharu yang akan mewakili kontinjen negara di Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pendekatan ini diambil selepas kebanyakan atlet sedia ada dalam sesetengah kelas pertandingan ketika ini sudah melepasi had umur penyertaan untuk beraksi di temasya dwi tahunan berkenaan.

"Kita akan buat persiapan. Buat masa ini kita sudah ada kertas kerja untuk Sukan SEA 2025 di Thailand," kata jurulatih kebangsaan, Afendy Abdullah yang turut berkata, tumpuan ketika ini adalah mempersiapkan atlet untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan dan Sukan Asia 2022.

"Sekarang ini, tumpuan kepada Sukan Asia dan Olimpik dan buat program pembangunan untuk Sukan SEA 2025. (Program pembangunan) ini adalah kerana (kelas) ada had umur. Sebagai contoh, (kelas) optimis, ada had umur dan atlet yang ada sekarang ini sudah tidak layak (ke Sukan SEA).

"Jadi kita kena mengambil atlet muda daripada sekarang untuk berlatih sebagai persediaan menghadapi (Sukan SEA) akan datang. Semua ini kita sudah mulakan. Hujung tahun ini akan ada kem latihan. Dalam kem ini ada latihan dan pada waktu sama, diadakan pemilihan."

Pelayaran tidak disenaraikan dalam 40 sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam 2021 yang dijadual bermula dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan.

Pelayaran adalah antara salah satu daripada 11 sukan yang Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menghantar rayuan kepada Ahli Majlis Persetukutan Sukan SEA (SEAGF), Julai lalu namun minggu ini, Vietnam hanya meluluskan satu acara sukan yang dipohon iaitu tenpin boling.

Berita Harian X