Khamis, 12 November 2020 | 6:02pm
Pasukan Team Sapura Cycling (TSC).
Pasukan Team Sapura Cycling (TSC).

TSC nombor satu Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan berbasikal benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan saingan musim 2020 di tangga teratas keseluruhan ranking Jelajah Asia dan ke-27 dunia.

Pengurus pasukan Sayuti Zahit gembira dengan pencapaian itu yang turut menyaksikan anak buahnya memperbaiki kedudukan musim lalu selepas menamatkan saingan di tangga kedua Asia di belakang Terengganu Inc TSG Cyling Team (TSG).

"Alhamdulillah kami berjaya melonjak satu anak tangga dan semua ini adalah hasil daripada pencapaian awal sejak musim bermula pada Oktober tahun lalu," kata Sayuti.

TSC menduduki tangga pertama Asia selepas mengumpul 1,113 mata, manakala TSG pula di tangga kedua dengan mencatat 864 mata.

Sayuti berkata walaupun saingan musim ini terjejas dengan pandemik COVID-19, mereka tidak mempersiakan permulaan cemerlang termasuk dengan mengumpul mata awal di Kemboja.

"Selepas itu bermula Januari kami mengekalkan momentum sehinggalah ke Le Tour de Langkawi (LTdL), di situ kami berjaya meraih banyak mata selain mempertahankan jersi," katanya.

Antara perlumbaan lain yang menyaksikan TSC berjaya mengumpul mata ialah di Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia, Tour Antalya, Grand Prix Velo Alanya, Grand Prix Manavgat (ketiga-tiganya di Turki) dan Kejohanan Kebangsaan (empat kejuaraan).

Berita Harian X