Sabtu, 7 November 2020 | 5:25pm
Presiden KRM, Shahrul Zaman Yahya.
Presiden KRM, Shahrul Zaman Yahya.

KRM janji terus kerja keras bangun sukan ragbi

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya memberi jaminan badan induk itu akan terus bekerja keras bagi meneruskan program pembangunan sukan ragbi di negara ini.

Beliau berkata pengiktirafan yang diberikan kerajaan menerusi peruntukan bagi program pembangunan sukan itu menerusi Belanjawan 2021, semalam menaikkan lagi semangat pihaknya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merica Naina Merican) di atas pengiktirafan ini.

"Kami sukan yang kecil tetapi mempunyai impian yang besar. Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pengorbanan yang diberikan penggiat ragbi di negara ini dari dulu hinggalah sekarang membabitkan semua peringkat," katanya.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Tengku Zafrul, semalam, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi program pembangunan sukan berprestasi tinggi meliputi pembangunan bagi sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal dan pembangunan atlet wanita.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman, berkata KRM akan terus menjalin kerjasama yang erat dengan semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan swasta bagi memastikan program pembangunan sukan ragbi membuahkan hasil yang positif.

"Walaupun sebelum ini kita melaksanakan program pembangunan kita dengan serba kekurangan, namun sejak kebelakangan ini dengan pengiktirafan dan sokongan pihak kerajaan sudah tentu kita bertambah bersemangat," katanya.

Berita Harian X