Sabtu, 7 November 2020 | 5:12pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA

Peruntukan RM55j turut merangkumi sukan teras lain

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan peruntukan RM55 juta untuk pembangunan sukan berprestasi tinggi dalam Belanjawan 2021 tidak hanya khusus kepada sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal dan pembangunan atlet wanita semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata peruntukan itu juga akan dimanfaatkan untuk memulakan program pembangunan atlet bagi beberapa sukan teras lain seperti olahraga, renang, terjun, gimnastik tenpin boling, skuasy dan golf bermula tahun depan seperti yang direncana kementeriannya.

"Pengenalpastian sukan-sukan berkenaan adalah berasaskan beberapa faktor. Antaranya potensi untuk menyumbang pingat kepada negara di persada antarabangsa selain daripada menawarkan bilangan acara dan pingat yang banyak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi program pembangunan sukan berprestasi tinggi meliputi pembangunan bagi sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal dan pembangunan atlet wanita.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pembangunan e-Sukan selain RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.

Bagi pengusaha industri sukan pula, sebanyak RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

Dalam pada itu, Reezal menjelaskan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan persiapan atlet prestasi tinggi di bawah Program Podium bagi menghadapi beberapa temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik dan Paralimpik, Tokyo 2020 serta Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, Vietnam 2021 akan tetap diteruskan.

"(Ia adalah) dengan peruntukan khusus di bawah perbelanjaan pembangunan, baik sebagai program sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 mahupun sebagai butiran baharu Rancangan Malaysia Ke-12," katanya yang yakin atlet-atlet negara akan terus berusaha untuk menggapai lebih banyak kejayaan di pelbagai peringkat kejohanan.

Berita Harian X