Jumaat, 6 November 2020 | 8:00pm
Reezal ucap terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada arena sukan negara.
Reezal ucap terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada arena sukan negara.

Belanjawan pulihkan ekosistem sukan negara - Reezal

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian yang wajar terhadap usaha membangun dan memulih ekosistem sukan pasca pandemik COVID-19.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi program pembangunan sukan berprestasi tinggi meliputi pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal dan pembangunan atlet wanita.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pembangunan e-Sukan dan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.

Bagi pengusaha industri sukan pula, sebanyak RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

"Ini adalah komitmen yang telah saya berikan untuk membantu pemain industri sukan dalam lawatan turun padang saya baru-baru ini," kata Reezal.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuji komitmen yang ditunjukkan kerajaan yang mengambil kira semua pemegang taruh dalam industri sukan negara.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap industri sukan terutamanya ketika tempoh yang mencabar ini khususnya peruntukan sebanyak RM20 juta (sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan) kepada operator fasiliti sukan membuktikan kerajaan sensitif terhadap kesukaran dan cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19," katanya.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM55 juta bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi dan pembangunan atlet sukan wanita.

"Penyenaraian lebih banyak sukan berprestasi tinggi dalam senarai ini pastinya akan mengukuhkan lagi pembangunan akar umbi dan memastikan kita tidak ketandusan bakat dalam sukan ini selain dapat memastikan kesinambungan dalam program latihan dan kejohanan atlet ketika ini," katanya.

Beliau juga percaya peruntukan sebanyak RM103 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan seluruh negara akan menjamin masa depan sukan tanah air selain membolehkan orang awam untuk terus menggunakan kemudahan sukan yang ada sebaik dibenarkan.

Berita Harian X