Sabtu, 24 Oktober 2020 | 3:00pm
Noorul (tengah) bersama Enitta dan Imran (kanan) ketika majlis penyampaian sumbangan khairat kematian kepada waris bekas atlet olahraga negara, John David Pillai dan bekas pemain bola sepak, Mohd Roslan Buang.
Noorul (tengah) bersama Enitta dan Imran (kanan) ketika majlis penyampaian sumbangan khairat kematian kepada waris bekas atlet olahraga negara, John David Pillai dan bekas pemain bola sepak, Mohd Roslan Buang.

Semua dana untuk kebajikan bekas atlet - YAKEB

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menegaskan semua dana yang diterima termasuklah daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah khas untuk kebajikan bekas atlet terutamanya bagi tujuan perubatan.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, sekiranya ada program lain yang mahu diadakan, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan daripada pihak lain seperti syarikat swasta.

"Seperti KBS yang mahu menyalurkan dana sebanyak RM500,000 kepada YAKEB, kita akan gunakan dana ini khas untuk kebajikan atlet. Program seperti kemahiran dan pelajaran mereka, kita akan cuba dapatkan dana daripada agensi lain dan pihak swasta.

"Dana yang kita dapat 100 peratus akan digunakan untuk kebajikan bekas atlet dan sedikit kita gunakan untuk pentadbiran YAKEB," kata Noorul ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris dua bekas atlet negara yang meninggal dunia baru-baru ini, hari ini.

Beliau berkata, bagi 2019 dan 2020, YAKEB secara keseluruhan sudah membelanjakan lebih RM1.9 juta bagi tujuan kebajikan bekas atlet yang mana lebih RM1.5 juta digunakan bagi menanggung kos rawatan perubatan hospital ahlinya.

"Bagi 2019, kita membelanjakan sebanyak RM1.4 juta manakala 2020 lebih kurang RM418,753. Angka ini ketara sangat disebabkan adanya bantuan daripada hospital kerajaan, maka rawatan perubatan hospital banyak berkurangan.

"Pada 2019, rawatan perubatan hospital adalah lebih RM1.2 juta tetapi pada tahun ini hanya RM260,000. Namun, angka meningkat dari segi peralatan bantuan perubatan seperti katil, kerusi roda, kaki palsu dan ubat-ubat yang tidak boleh didapati di hospital kerajaan," katanya.

Terdahulu, Noorul menyampaikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM3,000 kepada waris bekas atlet olahraga negara, John David Pillai dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Roslan Buang.

Mendiang David diwakili balunya, Enitta Pillai manakala Allahyarham Roslan diwakili anaknya, Imran Mohd Roslan.

Berita Harian X