Sabtu, 3 Oktober 2020 | 10:56pm
Nor Afendi (kiri sekali) bersama Tunku PuteriJawahir (tiga dari kiri), Ranjit Kaur (lima dari kiri) ketika pelancaran Kempen Pinktober di GGCC, Shah Alam. - Foto ihsan GGCC
Nor Afendi (kiri sekali) bersama Tunku PuteriJawahir (tiga dari kiri), Ranjit Kaur (lima dari kiri) ketika pelancaran Kempen Pinktober di GGCC, Shah Alam. - Foto ihsan GGCC

Kempen Pinktober bantu kutip dana persatuan kanser

SHAH ALAM: Kira-kira RM25,000 dijangka dikutip menerusi Kempen PinkTober bagi mengisi tabung Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA) di Glenmarie Golf and Country Club (GGCC) sepanjang bulan ini.

Pengurus GGCC, Nor Afendi Mohd Razlan berkata program bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kanser payu dara di beri perhatian semua pihak, bakal disertai pemain golf tempatan dari sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri berhampiran selain ahli kelab sendiri.

Katanya, kempen itu buat julung kalinya diadakan di negeri ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA).

"Menerusi sokongan padu semua pihak khususnya komuniti golf, kempen Pinktober ini akan mampu mencapai sasaran untuk mengisi dana BCWA selain meningkatkan kesedaran mengenai penting kesedaran mengenai kanser payu dara," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kempen Pinktober ini dilancarkan dalam satu majlis di GGCC dan turut dihadiri Pengerusi MALGA, Tunku Puteri Puan Seri Jawahir Almarhum Tuanku Jaafar; Penaung BCWA, Puan Seri Akmal Abdul Salam; Presiden BCWA, Ranjit Kaur dan Presiden GGCC, Datuk Nik Azman Mohd Zain.

Nor Afendi berkata dengan menggunakan slogan 'chip in for a cure', pemain wanita diberi kadar bayaran istimewa sebanyak RM120 manakala pemain lelaki yang memakai baju atau seluar berwarna merah jambu hanya perlu membayar RM185 pada hari biasa sepanjang bulan ini.

Katanya, GGCC juga akan menderma sebanya RM1 kepada BCWA daripada kutipan bayaran pemain di kelab berkenaan sehingga penghujung Disember ini.

"Sumbangan yang diterima ini akan digunakan bagi membantu BCWA menjalankan aktiviti mereka. Jadi kita berharap orang ramai khususnya pemain golf akan tampil untuk memberi sokongan kepada kempen ini," katanya.

Berita Harian X