Khamis, 1 Oktober 2020 | 9:14pm
Reezal ketika sidang media pada Majlis Perasmian E-Sport Integrated (ESI) hari ini. - FOTO BERNAMA
Reezal ketika sidang media pada Majlis Perasmian E-Sport Integrated (ESI) hari ini. - FOTO BERNAMA

Peranan ESI, MESF tak bertindih

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu pertindihan peranan antara Esports Integrated (ESI) yang baru diwujudkan dengan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata MESF tetap berfungsi sebagai badan sukan kebangsaan.

"Mana ada bertindih, sebagai contoh ESI sama seperti Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengemukakan inisiatif pihak kerajaan, manakala MESF adalah pelengkap, pelaksana di peringkat kebangsaan.

"Seperti saya cakap tadi perlu ada keperluan bekerjasama dengan pemegang taruh. Sebab itu, ada semua wakil pemegang taruh hari ini," katanya kepada media selepas melancarkan ESI di sini, hari ini.

ESI adalah sebuah inisiatif baru daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dikuasakan oleh Impact Integrated, untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.

Sementara itu, diminta mengulas peruntukan kepada e-sukan menjelang Belanjawan 2021, Reezal, berkata ia perlu dilihat kepada kemampuan kerajaan.

"Pada waktu ini kita ada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, saya sudah kemukakan. Bagaimanapun, ia terlalu awal untuk maklumkan berapa jumlahnya.

"Paling penting ketika berdepan tempoh COVID-19 ini, aktiviti atas talian cukup popular selepas kita mendapat maklumat komuniti e-sukan berjumlah 21 juta orang.

"Jadi saya sentiasa memberi penekanan program e-sukan perlu diteruskan dan berharap perbendaharaan memahami e-sukan sangat dekat dengan anak muda," katanya.

Pada Belanjawan 2020 peruntukan RM20 juta diberikan untuk pembangunan e-sukan yang mana KBS menerima RM10 juta dan RM10 juta bagi pembangunan digital disalurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Berita Harian X