Khamis, 1 Oktober 2020 | 6:23pm
Reezal (dua kanan) menyampaikan replika kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif E-Sport Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir ketika Majlis Perasmian ESI hari ini. - FOTO BERNAMA
Reezal (dua kanan) menyampaikan replika kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif E-Sport Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir ketika Majlis Perasmian ESI hari ini. - FOTO BERNAMA

Khairy dapat 'restu' Reezal

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi 'restu' sekiranya Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin berhasrat menerajui Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Beliau menyifatkan Khairy sebagai seorang yang dinamik dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang sukan.

"Dua bidang sukan yang saya tahu beliau mempunyai minat yang mendalam adalah berbasikal dan bola sepak.

"Kalau di KBS (Kementerian Belia dan Sukan), yang benar-benar membangunkan program NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) adalah saudara Khairy (ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan).

"Saya sebenarnya mengalu-alukan kalau ada sumbangan dalam kalangan menteri-menteri yang boleh membawa bidang sukan itu diangkat jauh lebih tinggi," katanya kepada media selepas melancarkan Esports Integrated (ESI) di sini, hari ini.

Sebelum ini, segelintir pihak termasuk bekas pelumba basikal negara mengangap Khairy sebagai calon paling layak mengambil alih kerusi nombor satu PKBM selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) pada 19 September lalu.

PKBM ketika ini diterajui oleh presiden, Datuk Abu Samah Wahab yang sudah mengetuai badan induk itu sejak 1990.

Ditanya sama ada menteri persekutuan dibenarkan untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan, Reezal berkata tiada halangan daripada pihaknya.

"Setakat ini, tidak pernah dibawa dalam Kabinet dan tidak pernah ada sebarang arahan yang saya dimaklumkan.

"Ia bergantung kepada individu. Kalau Khairy, orang tahu beliau seorang mempunyai minat mendalam dalam sukan dan bidang bola sepak. Jadi, saya tidak nampak itu satu kekangan atau halangan.

"Secara jujur, dia ada hubungi saya (sebelum bertanding jawatan Presiden PLBNS), minta pandangan dan seakan-akan minta kebenaran tetapi saya katakan tidak perlu," katanya.

Pada 2007, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan.

Malah, Khairy ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2017 ada memaklumkan mana-mana menteri yang mahu memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri atau jemaah menteri.

Berita Harian X