Sabtu, 12 September 2020 | 7:51pm
Barisan pemain Negeri Sembilan Antlers yang akan bersaing dalam STL 2020.
Barisan pemain Negeri Sembilan Antlers yang akan bersaing dalam STL 2020.

Syahir tak boleh bergantung kepada reputasi

SEREMBAN: Reputasi selaku bekas tekong kebangsaan bukan tiket mudah buat Mohd Syahir Rosdi untuk mewakili skuad sepak takraw negara sekiranya dipanggil semula.

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, Syahir perlu menunjukkan mutu permainan yang baik jika mahu menawan hati jurulatih pasukan negara.

"Memang suatu ketika dahulu dia pernah sumbang emas pada negara tetapi ia bukan satu tiket di mana dia boleh beraksi secara terus dalam pasukan negara tanpa melalui latihan dan sebagainya.

"Saya difahamkan, Syahir akan mewakili Wilayah Persekutuan dalam Sepak Takraw League (STL) pada kali ini, jadi saya berharap prestasi beliau sama, semasa atau sebelum digantung," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pengenalan Pasukan Sepak Takraw Negeri Sembilan Antlers, di Klana Resort di sini, hari ini, yang turut hadir Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Pada 27 Jun tahun lalu, Syahir dan seorang lagi bekas tekong kebangsaan, Zulkifli Razak digantung sembilan bulan atas alasan disiplin oleh PSM.

Susulan itu pemain berkenaan dilarang beraksi dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sama ada dalam mahupun luar negara termasuk digugurkan daripada skuad negara ke Sukan SEA Filipina 2019.

Bagaimanapun, pada Februari lalu iaitu selepas PSM menamatkan penggantungannya, Mohd Syahir ada menyatakan kesediaannya untuk mewakili skuad negara.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, PSM tidak akan teragak-agak mengambil Syahir jika sekiranya dia memenuhi kehendak persatuan.

"Bagaimanapun, PSM akan menilai setiap pemain yang beraksi dalam STL termasuk Syahir," katanya.

Berita Harian X