Ahad, 26 Julai 2020 | 6:39pm
Pasukan bola jaring negara ketika beraksi di Sukan SEA Filipina 2019.
Pasukan bola jaring negara ketika beraksi di Sukan SEA Filipina 2019.

Fokus dua kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan memberi fokus kepada dua kejohanan antarabangsa pada 2021 selepas acara bola jaring tidak dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Dua kejohanan berkenaan adalah Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Fiji dari 10-19 Jun 2021, selain Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia keenam dari 21 hingga 30 Mei di Thailand.

Setiausaha Kehormat PBJM Zainon Md Noh berkata badan induk itu akan menghantar barisan campuran melibatkan pemain senior dan remaja sewaktu acara bola jaring membuat penampilan sulung pada kejohanan di Bangkok itu, dengan sasaran muncul juara.

"Bagi Kejohanan Remaja Dunia di Fiji, kami menyasarkan untuk memperbaiki ranking kita daripada kedudukan ke-17 pada edisi 2017 di Bostwana kepada kelompok 14 pasukan terbaik memandangkan beberapa kuasa besar dunia seperti juara bertahan New Zealand, Australia, England dan Jamaica dijangka menguasai kedudukan teratas kejohanan berkenaan.

"Berhubung dengan Sukan SEA pada tahun hadapan, saya difahamkan Vietnam tidak berhasrat menganjurkan acara bola jaring disebabkan mereka tiada pemain," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zainon berkata ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Lisa Ann Beehag dari Australia akan kembali semula ke tanah air sekiranya kerajaan membuka pintu sempadan kepada pelawat asing.

Beliau berkata latihan skuad senior kebangsaan ketika ini dikendalikan oleh Choo Kon Lee dan Aminah Asaari bagi memastikan pemain berada dalam tahap terbaik sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa selepas ini.

"Lisa sempat melatih skuad senior kebangsaan selama dua minggu pada bulan Februari dan Mac lalu, sebelum kembali ke Australia memandangkan beliau terikat dengan komitmen sebuah kelab bola jaring di sana.

"Jadi, agak sukar untuk beliau kembali semula ke Malaysia ketika ini memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan kepada pelawat asing susulan penularan pandemik COVID-19. Namun jurulatih Choo dan Cikgu Aminah sentiasa berhubung dengan Lisa secara maya bagi mengekalkan stamina pemain skuad senior," jelas Zainon.

PBJM sebelum ini melantik Beehag selaku pengendali baharu skuad senior kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia di Jeonju, Korea Selatan pada Jun tahun ini, namun kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Berita Harian X