Rabu, 22 Julai 2020 | 5:44pm
Rohan Du Plooy dari pasukan Pro Touch muncul juara di Peringkat 2 Kuala Terengganu - Chukai pada Tour of Peninsular (ToP) 2019. FOTO ASWADI ALIAS.
Rohan Du Plooy dari pasukan Pro Touch muncul juara di Peringkat 2 Kuala Terengganu - Chukai pada Tour of Peninsular (ToP) 2019. FOTO ASWADI ALIAS.

ToP tunda tahun depan

KUALA LUMPUR: Penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Peninsular (ToP), Motoshoot Event Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menunda edisi kedua perlumbaan itu berikutan keadaan tidak menentu ekoran pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Operasinya Emir Abdul Jalal berkata jelajah lima peringkat yang sepatutnya berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober ini akan diadakan sekitar tempoh yang sama tahun depan.

Katanya antara sebab keputusan itu dibuat adalah penganjur tidak mahu terburu-buru menganjurkan perlumbaan dalam masa yang singkat sehingga menjejaskan kualiti penganjuran, selepas berjaya menyediakan perlumbaan yang terpuji untuk edisi sulung tahun lepas.

"Kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, kita belum tahu 'pelan keluar' kerajaan macam mana. Kita juga masih belum boleh menjemput pasukan dari luar negara kerana kerajaan masih belum membuka sempadan.

"Penaja juga belum pasti boleh memberikan komitmen penuh seperti yang dijanjikan sebelum ini. Jadi dengan mengambil kira semua faktor ini, kita tidak mahu mengambil risiko dengan terus menganjurkan perlumbaan ini," katanya kepada Bernama.

Emir berkata sekiranya perlumbaan hanya diadakan dengan melibatkan pelumba dalam negara, ia akan mengakibatkan statusnya sebagai 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) terjejas.

Ia kerana hanya tiga pasukan di Malaysia iaitu pasukan kebangsaan, Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang memenuhi kriteria berlumba dalam perlumbaan berstatus 2.1.

Selain ToP, acara berbasikal lain seperti Tour de Femina, Jelajah Malaysia dan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan turut dibatalkan pada tahun ini, manakala Le Tour de Langkawi (LTdL) berjaya dianjurkan pada awal Februari, sebelum wabak itu mula menular di Malaysia.

Edisi sulung ToP yang berlangsung dari 15 hingga 19 Okt tahun lepas menarik penyertaan hampir 200 pelumba daripada 18 pasukan benua dan dua pasukan kebangsaan.

Jelajah sejauh 751.6 kilometer itu bermula dengan peringkat pertama dari Dungun-Kuala Terengganu, diikuti peringkat Kuala Terengganu-Chukai, Kuantan-Karak, Sungai Koyan-Cameron Highlands dan tamat dengan laluan Kuala Lipis-Setiawangsa.

Berita Harian X