Ahad, 12 Julai 2020 | 7:03pm
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad (depan dua, kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia & Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (depan, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd Datuk Mohd Noorazam Osman (depan tiga, kanan) melihat replika Kompleks Sukan Sukan Johor @ Stadium Olahraga dan Rugbi ketika mengadakan lawatan rasmi ke stadium itu di Taman Mount Austin hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad (depan dua, kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia & Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (depan, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd Datuk Mohd Noorazam Osman (depan tiga, kanan) melihat replika Kompleks Sukan Sukan Johor @ Stadium Olahraga dan Rugbi ketika mengadakan lawatan rasmi ke stadium itu di Taman Mount Austin hari ini. - Foto BERNAMA

Johor yakin mampu jadi penganjur SUKMA paling cemerlang

JOHOR BAHRU: Johor yakin mampu menjadi penganjur paling cemerlang dalam sejarah Sukan Malaysia (SUKMA) apabila edisi ke-20 temasya itu berlangsung di negeri berkenaan, pada Mac tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata keyakinan beliau itu bertitik-tolak kepada komitmen kerajaan negeri menyediakan venue dan kemudahan berkualiti kepada atlet dan semua pihak yang terbabit.

Antara venue SUKMA Johor ialah Kompleks Sukan Johor yang menempatkan lapang sasar menembak, gelanggang ragbi dan stadium balapan (olahraga).

"Saya rasa kita akan dapat menganjurkan SUKMA yang terbaik. Cuma, kita harapkan rakyat Johor akan memberikan kerjasama sekiranya prosedur operasi standard (SOP) masih lagi dikenakan sewaktu SUKMA 2020," katanya selepas melawat Kompleks Sukan Johor, di Taman Mount Austin, di sini, hari ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

Hasni berkata ketika ini, hampir semua kerja pembinaan venue sudah mencapai 97 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini dan tiada masalah jika tarikh penganjuran temasya berkenaan dianjakkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

"Kita sudah bersedia tetapi saya rasa Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak kementerian juga akan menetapkan tarikh sebenar nanti tetapi setakat ini, yang kita makIum adalah pada tahun hadapan," katanya.

Johor yang kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1992, telah membina sebanyak sembilan venue baharu termasuk Kompleks Sukan Johor serta menaik taraf beberapa venue yang sedia ada, antaranya Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin dan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

SUKMA Johor 2020, yang membabitkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi, sepatutnya berlangsung dari 11 hingga 19 Julai, namun disebabkan penularan pandemik COVID-19, kerajaan memutuskan untuk menangguhkannya ke tahun depan.

Setakat ini, tarikh yang ditetapkan ialah 6 hingga 14 Mac tahun depan, namun ia akan dibincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

-- BERNAMA

Berita Harian X