Rabu, 10 Jun 2020 | 6:51am
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA

KBS jumpa penggiat sukan renang bincang perincian SOP

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri sukan renang dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan mereka bagi proses memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih komprehensif.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penambahbaikan SOP berkenaan akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses kelulusan.

Beliau menegaskan kementeriannya sedang dalam perancangan untuk menambah baik SOP sedia ada bagi membolehkan aktiviti renang dibenarkan beroperasi seperti biasa.

"Banyak respons dan pertanyaan diterima berkaitan aktiviti sukan renang selepas pengumuman yang dibuat semalam (pada Ahad).

"Kerajaan memahami keresahan rakyat akibat semua aktiviti kolam renang masih lagi antara perkara yang tidak dibenarkan dalam pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 2," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan KBS, malam tadi.

Terdahulu, Reezal Merican mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohamad dan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen di Putrajaya, semalam.

Pertemuan berkenaan adalah bagi memperincikan SOP untuk sukan renang yang bakal dikemukakan kepada MKN dan KKM.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad lalu, memaklumkan antara dibenarkan adalah latihan persediaan pasukan dan aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan sebagainya.

Aktiviti sukan yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang membabitkan perhimpunan penyokong atau penonton ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

-- BERNAMA

Berita Harian X