Selasa, 2 Jun 2020 | 2:18pm

Media Prima terbit program e-sukan

KUALA LUMPUR:  Media Prima Digital menerusi portal permainan e-sukan MyGameOn (MGO) akan menerbitkan satu program baharu Mingguan Esports MGO (MEMGO)​ yang bakal bersiaran di TV9.

Program berdurasi 30 minit itu akan menemui penonton setiap hari Rabu bermula esok pada jam 10.30 malam.

Khusus buat para peminat e-sukan, rancangan ini akan membawa penonton kepada tiga segmen yang berbeza - berita, sorotan dan temu bual bersama bersama tokoh dan pemain industri e-sukan profesional.

Pengurus Besar Kumpulan, Media Prima Digital, Nicholas Sagau berkata rancangan berkenaan adalah satu inisiatif untuk mendidik, memupuk dan memberi pendedahan kepada orang ramai dan juga peminat e-sukan. 

"Dengan adanya kandungan e-sukan atau permainan video di televisyen, ia dapat membantu kami meluaskan capaian kepada lebih ramai penonton dalam kalangan peminat 'game'. 

"Kami  berbangga dengan Mingguan Esports MGO dan teruja untuk membawa e-sukan ke tahap seterusnya melalui televisyen," kata Nicholas.

Berita Harian X