X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 8:19pm
Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Ragbi Liga Negeri ada peluang disambung semula

SEREMBAN: Peminat ragbi tempatan berkemungkinan berpeluang menyaksikan aksi sukan itu kembali diadakan di negeri ini apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sedia memberi peluang Liga Negeri disambung semula.

Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil berkata, ia bagaimanapun masih tetap bergantung kepada kelulusan muktamad daripada pihak berkuasa terbabit apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) ini berakhir.

Katanya, berbanding kejohanan domestik dan antarabangsa di negara ini yang dihentikan sehingga akhir tahun, ragbi Liga Negeri yang sudah bermula sebelum ini boleh kembali berlangsung sebaik tamat tempoh PKPB.

"KRM tidak akan menganjurkan sebarang kejohanan domestik tahun ini sebaliknya apa yang sudah dirancangkan sejak awal tahun ini, akan ditangguhkan sepenuhnya. Ini selaras dengan arahan kerajaan iaitu tidak membenarkan aktiviti sukan ragbi beraksi kerana ia antara sukan yang mempunyai kontak.

"Bagaimanapun, andainya PKPB ini sudah berakhir dalam tempoh terdekat, persatuan ragbi negeri boleh meneruskan kejohanan atau ragbi Liga Negeri yang mereka kendalikan itu untuk bersambung semula.

"Kita (KRM) ada 18 ahli gabungan dan mereka mempunyai liga sendiri dan saya fikir liga itu mungkin boleh diteruskan semula apabila PKPB ini tamat kelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Fahmy mengakui akui pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada negara ini tetapi juga rantau Asia dan pihaknya tidak dapat menentukan bilakah peluang untuk sukan itu kembali mengisi ruang di padang.

Berita Harian X