Khamis, 26 March 2020 | 12:43pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. -nstp/Ihsan Laman Web Rasmi Dewan Negeri Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. -nstp/Ihsan Laman Web Rasmi Dewan Negeri Johor

Tarikh baharu SUKMA

JOHOR BAHRU: Tarikh baharu bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 akan diumumkan secepat mungkin dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tarikh baharu itu akan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh bagi memastikan ia sesuai tanpa pertindihan dengan tarikh penting di samping perkembangan semasa wabak COVID-19.

“Wabak COVID-19 menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terbabit dalam proses menjayakan SUKMA Johor 2020.

“Oleh yang demikian, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dengan sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Tarikh baru bagi SUKMA Johor 2020 akan diumumkan secepat mungkin malah Johor sebagai tuan rumah akan senantiasa bersedia dalam memastikan penganjuran SUKMA Johor 2020 mencapai piawaian penganjurannya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA menerusi sidang video, petang semalam dengan tarikh baharu temasya dwitahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia membuat keputusan itu selepas mengambil kira aspek paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terbabit dalam temasya berkenaan.

“Mesyuarat juga mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke tahun 2021,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X