Sabtu, 29 Februari 2020 | 1:21pm
Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang percaya ada rahmat di sebalik kegagalannya memenangi pingat emas Kejohanan Trek Dunia di Berlin, semalam. - Foto AFP
Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang percaya ada rahmat di sebalik kegagalannya memenangi pingat emas Kejohanan Trek Dunia di Berlin, semalam. - Foto AFP

'Ada rahmat raih gangsa'

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang percaya ada rahmat di sebalik kegagalannya memenangi pingat emas Kejohanan Trek Dunia di Berlin, semalam.

Menurut pelumba berusia 32 tahun yang lebih dikenali The Pocketrocketman itu berkata, dia tidak dapat bayangkan tekanan yang perlu ditanggungnya sekiranya meraih emas, semalam.

Malah, dia mengakui gangsa yang diraih mampu menjadi tonik terbaik menghadapi Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan dengan percaya persiapannya menghadapi temasya berprestij itu di landasan tepat berdasarkan corak kayuhan dan catatan masa ketika perlumbaan itu.

"Sudah tentu masih banyak peningkatan yang kami boleh lakukan dengan baki kurang enam bulan sebelum Olimpik Tokyo bermula. Saya juga percaya ini semua perancangan Allah yang menangguh kemenangan saya di sini.

"Saya bayangkan kalau saya menang hari ini (semalam), tekanan di Olimpik nanti sudah tentu berlipat kali ganda. Saya juga berharap kejayaan kecil di bumi Jerman ini, akan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.

"Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu kepada saya dan pasukan berbasikal Malaysia. Sokongan anda semua, amatlah saya hargai."

Emas dalam acara itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen manakala perak menjadi milik Yuta Wakimoto dari Jepun.

"Mengenai perlumbaan hari ini (semalam), saya meraih undian tempat pertama (paling depan) sebanyak tiga kali ketika perlumbaan bermula. Secara taktikalnya, gaya kayuhan tidak menyebelahi saya.

"Di final, perancangan awal saya dan pasukan untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum pecutan bermula tetapi semua pelumba menunggu di belakang. Apabila perlumbaan memasuki pusingan kedua terakhir, saya cuba memecut ke depan apabila melihat ada pergerakan dari belakang.

"Namun, saya terkepung dan selepas itu berhimpit pula dengan pelumba dari Birtain yang merencatkan kayuhan dan kelajuan saya ketika itu. Saya melihat ada dua pelumba berada di depan dan saya cuba mengejar dan menunggu waktu sesuai untuk memotong.

"Malangnya, saya sekali lagi dihimpit di selekoh akhir apabila cuba memotong dan saya terpaksa akur dengan pingat gangsa," kata pelumba dari Dungun, Terengganu itu.

Apapun, gangsa itu adalah pingat keenam diraih Azizulhasni di Kejohanan Dunia dengan pencapaian terbaiknya meraih emas dalam acara sama sekali gus menyarung Jersi Pelangi pada 2017 di Hong Kong.

Dia turut pernah meraih perak pada penyertaannya pada 2009 di Pruszkow, Poland dalam acara pecut dan 2010 di Ballerup, Denmark (keirin).

Pingat gangsa menjadi miliknya dalam acara keirin di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis pada 2015 dan di London, 2016.

Pencapaian Azizulhasni

Sukan Olimpik

2016: Acara keirin (gangsa)

Kejohanan Dunia

2009: Acara pecut (perak)

2010: Acara keirin (perak)

2015: Acara keirin (gangsa)

2016: Acara keirin (gangsa)

2017: Acara keirin (emas)

2020: Acara keirin (gangsa)

Sukan Asia

2010: Acara keirin (emas)

2018: Acara pecut (emas)

2019: Acara pecut berpasukan (perak)

2018: Acara keirin (gangsa)

Sukan Komanwel

2010: Acara pecut berpasukan (gangsa)

2014: Acara keirin (gangsa)

Berita Harian X