Jumaat, 28 Februari 2020 | 9:21pm
Pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang (kiri), Yudai Nitta dari Jepun, Rayan Helal dari Perancis, Jack Carlin dari Great Britain, Matthijs Buchli dari Belanda dan Stefan Botticher dari Jerman pada Kejohanan Trek Dunia di Berlin, Jerman. - Foto REUTERS

Jijoe sudah serasi basikal RM300,000

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat gangsa Kejohanan Trek Dunia di Berlin, Jerman semalam memberi isyarat awal betapa Azizulhasni Awang kini sudah serasi dengan basikal baharunya menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Azizulhasni menggunakan basikal WXR Vorteq, hasil kolaborasi dengan sebuah syarikat kajian dan pembangunan berpangkalan di Silverstone, UK, Vorteq yang dikatakan bernilai RM300,000 bermula di saingan di Berlin manakala spesifikasi akhir basikal berkenaan akan ditambah baik sebelum Olimpik Tokyo nanti.

"Ini menunjukkan dia (Azizulhasni) sudah mula serasi dengan basikal baharunya dan itu yang lebih penting khususnya dengan pelaburan besar (dilakukan)," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kita menyediakan teknologi peralatan terbaik buatnya ke arah menghadirkan pingat emas di Tokyo 2020 nanti. Azizul dan pasukan sokongannya sentiasa positif dan bergerak ke hadapan dalam program mereka menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kita akan terus menyediakan sokongan terbaik buat dirinya dan pasukannya selain berdoa semoga segala aspek persiapan berjalan dengan lancar."

Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe menjadi prospek utama membutirkan kilauan emas di Olimpik Tokyo selepas ketiadaan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, tahun lalu.

 Kejayaan meraih pingat gangsa Kejohanan Trek Dunia di Berlin, Jerman, Mohd Azizulhasni Awang meraikan di atas podium. - Foto REUTERS
Kejayaan meraih pingat gangsa Kejohanan Trek Dunia di Berlin, Jerman, Mohd Azizulhasni Awang meraikan di atas podium. - Foto REUTERS

Pingat perak Yuta Wakimoto dari Jepun, pingat emas Harrie Lavreysen dari Belanda dan pingat gangsa Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang meraikan podium. - Foto REUTERS
Pingat perak Yuta Wakimoto dari Jepun, pingat emas Harrie Lavreysen dari Belanda dan pingat gangsa Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang meraikan podium. - Foto REUTERS

Pada final keirin pagi tadi, Azizulhasni meraih gangsa - yang juga pingat keenamnya di Kejohanan Dunia - manakala acara berkenaan dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen.

Melengkapkan pentas podium adalah pelumba Jepun, Yuta Wakimoto yang meraih perak.

"MSN turut gembira dan lega dengan prestasi Azizul di kejohanan dunia ini. Selain gangsa, apa yang lebih penting dia mempamerkan prestasi konsisten dalam setiap pusingan kelayakan, suku akhir dan separuh akhir bagi melepasi proses kelayakan ke peringkat akhir.

"Ini menunjukkan dia dapat menguasai dan mengawal setiap kayuhan pada setiap pusingan," kata Shapawi.

Berita Harian X