Selasa, 25 Februari 2020 | 3:49pm
BEKAS tekong skuad sepak takraw kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi sedia mewakili negara selepas tempoh penggantungan tamat hujung bulan depan. - Foto Malik Muhamad
BEKAS tekong skuad sepak takraw kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi sedia mewakili negara selepas tempoh penggantungan tamat hujung bulan depan. - Foto Malik Muhamad

Syahir sedia 'libas' semula

Kuala Terengganu: Bekas tekong kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi sedia mewakili skuad sepak takraw negara sekiranya dipanggil semula.

Bagaimanapun, tekong berusia 24 tahun kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui corak permainannya masih banyak kekurangan dan harus berguru lagi sebelum kembali mewakili skuad negara.

“Corak permainan saya masih banyak kekurangan lagi, jadi saya perlu perbaiki dahulu supaya lebih mantap sebelum kembali mewakili negara.

“Saya harap selepas tempoh penggantungan sembilan bulan yang bakal berakhir hujung bulan depan, saya mampu meningkatkan lagi persembahan sebelum menyertai sesi pemilihan sekiranya dipanggil skuad kebangsaan,” katanya.

Syahir yang terkenal dengan ‘servis kuda’ berkata demikian ketika ditemui selepas tamat saingan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, kelmarin.

Bermula 27 Jun tahun lalu, Syahir dan seorang lagi bekas tekong kebangsaan, Zulkifli Razak digantung sembilan bulan atas alasan disiplin oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Susulan itu pemain berkenaan dilarang beraksi dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sama ada dalam mahupun luar negara termasuk digugurkan daripada skuad negara ke Sukan SEA Filipina tahun lalu.

Berita Harian X