Jumaat, 6 Disember 2019 | 9:30pm
BALINGAN EMAS... Atlet tenpin boling negara, Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ismail Luqman Hakim dan Timmy Tan ketika meraikan kejayaan dalam acara tenpin boling lelaki berpasukan kategori lelaki akhir pada Sukan SEA 2019 di Starmall EDSA hari ini. - Foto BERNAMA

Rafiq, rakan boleh tidur lena

MANILA: Skuad tenpin boling negara kembali ‘bernyawa’ selepas berjaya meraih pingat emas acara berpasukan lelaki di Pusat Beli Belah Starmall EDSA di sini, hari ini.

Selepas dua hari ketandusan emas, pasukan lelaki negara yang dibarisi Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ismail Luqman Hakim dan Timmy Tan kembali mengaum apabila mengungguli acara itu dengan catatan 4,980 jatuhan pin.

Rafiq yang ditemui selepas kejayaan itu, berkata dia dan rakan kini boleh tidur lena selepas gagal mencapai emas yang diharapkan dalam dua hari sebelum ini.

“Akhirnya selepas empat hari dengan apa yang kami lalui, kami puas dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada rakan yang lain kerana mereka tidak pernah patah semangat dan bersatu sehingga akhir.

“Ini adalah kejayaan yang cukup istimewa yang mana Malaysia sudah empat tahun tidak menang emas berpasukan lelaki selepas kali terakhir di Singapura (2015),” kata Rafiq.

Pingat perak acara itu dimenangi pasukan Filipina dengan 4,937 jatuhan pin manakala Thailand gangsa 4, 896 jatuhan pin.

PINGAT EMAS... Atlet tenpin boling negara (dari kiri) Timmy Tan, Tun Ismail Luqman Hakim, Ahmad Muaz Fishol, Muhamad Rafiq Ismail menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara tenpin boling lelaki berpasukan kategori lelaki akhir pada Sukan SEA 2019 di Starmall EDSA hari ini. - Foto BERNAMA

Ini adalah emas kedua yang disumbangkan skuad boling negara selepas Timmy mendominasi saingan perseorangan lelaki, Selasa lalu.

Sementara itu, pasukan wanita negara yang dibarisi Shahlin Zulkifli, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah meraih perak berpasukan apabila mencatat 4,803 jatuhan pin.

Emas dimenangi Singapura dengan 4,833 jatuhan pin manakala Filipina gangsa 4,735 jatuhan pin.

Berita Harian X