Khamis, 5 Disember 2019 | 2:53pm
KETUA kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (berdiri, tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan atlet di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
KETUA kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (berdiri, tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan atlet di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Logistik atlet para paling membimbangkan - Megat

KUALA LUMPUR: Masalah logistik bakal menjadi kebimbangan utama kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN di Filipina yang akan berlangsung bermula 18-hingga 25 Januari ini.

Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata berdasarkan kunjungan mereka di Filipina pada Ogos lalu, penganjur menjanjikan bas mesra orang kurang upaya (OKU) yang boleh mengisi empat kerusi roda dalam sebuah bas.

"Kami sudah ke Manila melihat persiapan penganjur cuma kami tak pernah melihat keadaan bas yang akan digunakan.

"Penganjur cuma menjanjikan satu bas yang boleh mengisi empat kerusi roda namun masalahnya akan tiba jika jadual pertandingan bermula di awal pagi.

“Bayangkan jika ada 10 bas sahaja dan penyertaan atlet seramai 200-300 orang, ini pastinya menimbulkan masalah nanti," katanya kepada BH selepas mengadakan pertemuan dengan kesemua atlet pada Kem Latihan Akhir Kontinjen Negara ke Sukan Para ASEAN di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, hari ini.

Beliau berkata kunjungan terakhirnya dahulu bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mendapati keadaan bilik di perkampungan sukan di New Clark City juga hanya boleh mengisi dua atlet berkerusi roda berikutan keadaan bilik yang agak sempit.

"Bilik air di venue renang juga kami dapati tidak mesra OKU dan kami sudah maklumkan semua kekurangan ini kepada penganjur ketika mesyuarat ketua-ketua kontinjen negara sebelum ini.

"Kami sudah beritahu semua keperluan kita dan kami akan memastikan semua keperluan nanti dipenuhi ketika Mesyuarat Pra-Pendaftaran Delegasi (DRM) yang akan diadakan dua minggu lagi di venue pertandingan," katanya.

Buat masa ini, 364 atlet dan pegawai bakal mengambil bahagian dalam 16 jenis sukan yang merangkumi 367 acara daripada keseluruhan 910 acara yang dipertandingkan.

"Prospek untuk kita mendapat pingat itu memang seperti yang disasarkan namun sasaran pingat sebenar biarlah Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) umumkan 13 Januari ini ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang.

“Setakat ini, semua program latihan berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Penganjur Sukan SEA ke-30 di Filipina yang sedang berlangsung kini berdepan dengan pelbagai isu daripada negara peserta terutama membabitkan isu logistik dan makanan halal namun Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Halimon Mohamad Sood berkata pihaknya sudah menyediakan pelan alternatif dengan penyediaan 2,000 pek makanan segera Brahim's.

Sukan Para ASEAN kesembilan yang diadakan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu menyaksikan kontinjen negara menduduki tempat kedua keseluruhan dengan merangkul 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa.

Berita Harian X