Rabu, 4 Disember 2019 | 7:19pm
Nazri (kiri) bersama sepanduk menyambut kepulangan Khairunnisa.
Nazri (kiri) bersama sepanduk menyambut kepulangan Khairunnisa.

Kenduri kesyukuran bawa pulang emas

 

SEPANG: Kejayaan kali pertama pemain bola jaring, Khairunnisa Nazri membantu negara merangkul pingat emas di Sukan SEA ke-30 Filipina memberi kebanggaan kepada keluarganya yang berhasrat mengadakan kenduri di kampung halamannya di Felda Trolak, Sungkai, Perak.

Bapanya, Nazri Abdul Rahman, 55, berkata beliau sekeluarga menaiki tiga kenderaan dari kampung halaman seawal 7 pagi bagi meraikan kejayaan anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini.

Skuad bola jaring negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Skuad bola jaring negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

"Saya tak tahu kelebihan yang dia ada tetapi daripada sekolah rendah lagi cikgu dia bagi dia main bola jaring. Daripada 'tangan kayu' sampailah ke hari ini.

"Saya gembira dan tak sangka dalam keluarga, anak saya dapat memenangi emas di Sukan SEA. Insya Allah kami akan mengadakan kenduri kesyukuran nanti," katanya yang berada di KLIA 2 bersama kira-kira 10 ahli keluarga sambil membawa sepanduk ucapan tahniah.

Nazri berkata, jika tahun lalu anaknya yang berada di posisi Goal Shooter (GS) tidak terpilih dalam skuad bola jaring, beliau gembira apabila anaknya itu dapat membalas kepercayaan diberikan jurulatih untuk memastikan pingat emas kekal milik negara.

Khairunnisa, 20, adalah antara pemain muda diserapkan daripada skuad remaja berjaya membantu Malaysia mempertahankan pingat emas dengan menewaskan Singapura 48-42 dalam aksi final di Kompleks Sukan Santa Rosa, Manila Isnin lalu.

"Sebenarnya sampai ke hari ini saya masih tak percaya dapat disenaraikan ke pasukan Sukan SEA namun dalam masa sama saya tetap gembira dengan kejayaan ini. 

"Alhamdulillah kami dapat mengekalkan pingat emas biarpun saya merasa agak gemuruh ketika bersaing pada awalnya. Namun begitu saya sudah belajar untuk mengawal perasaan itu," katanya.

Berita Harian X