Rabu, 4 Disember 2019 | 7:12pm
jurulatih skuad bola jaring negara, Tracey Robinson. - NSTP/Owee Ah Chun
jurulatih skuad bola jaring negara, Tracey Robinson. - NSTP/Owee Ah Chun

PBJM mahu kekalkan khidmat Robinson

 

SEPANG: Khidmat jurulatih skuad bola jaring negara, Tracey Robinson masih diperlukan terutama dalam menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia 2020 Jun depan di Korea Selatan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan khidmat jurulatih dari Australia itu yang berjaya membantu skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina Isnin lalu.

Zainon Md Noh (dua dari kiri) bersama skuad bola jaring tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Zainon Md Noh (dua dari kiri) bersama skuad bola jaring tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

"Bagi atlet, mereka berpuas hati dengan cara kendalian Tracey. Sebenarnya Tracey membimbing pasukan sepenuh masa sejak Julai dan sebelum itu beliau akan datang dalam seminggu setiap bulan dan balik semula ke Australia. 

"Selepas Julai, kita nampak prestasi atlet bertambah baik dan seleps ini kita kena berbincang dengan MSN untuk sambungan khidmat beliau," katanya yang juga pengurus skuad bola jaring negara di Sukan SEA 2019 Filipina sejurus tiba di KLIA 2, hari ini.

Zainon berkata, kontrak jurulatih itu akan berakhir pada bulan ini dan berharap khidmatnya dapat diteruskan bagi membaiki pencapaian pada Kejohanan Bola Jaring Asia 2018 di Singapura selepas skuad negara sekadar menduduki tempat ketiga.

Mengenai pengalaman skuad bola jaring negara pada temasya edisi ke-30 Sukan SEA itu, Zainon berkata pada mulanya pasukan menghadapi sedikit masalah penginapan dan memperoleh makanan halal namun semua perkara diatasi pihak hotel penginapan mereka di Manila.

"Pada awalnya, kami terpaksa masak nasi sendiri dengan berbekalkan makanan segera Brahim kerana keraguan terhadap makanan di hotel namun selepas aduan diberikan, pihak hotel memberikan kerjasama baik dalam penyediaan makanan yang bersesuaian dengan atlet kita," katanya.

Sementara itu, Robinson berkata beliau masih belum berbincang dengan pihak persatuan mengenai masa depannya dan berhasrat untuk berehat sebelum berbincang tahun depan.

"Saya tak suka berbincang mengenai kontrak baru sehinggalah saya menamatkan kontrak yang ada terlebih dahulu. Saya gembira dengan pencapaian negara ini dan dengan pemain yang kita ada sekarang dalam memastikan kemenangan sekali lagi," katanya.

Secara keseluruhan jelasnya, semua pasukan bola jaring di Sukan SEA mempamerkan peningkatan namun beliau gembira apabila skuad negara berjaya mempertahankan pingat emas dua tahun lalu dengan rekod bersih daripada pusingan awal.

Berita Harian X