Selasa, 3 Disember 2019 | 3:13pm
PEMANDANGAN kawasan Metro Manila yang diselubungi awan mendung berikutan taufan Kammuri yang akan melintasi Filipina. PHISOG dalam satu kenyataan kecemasan, beberapa acara sukan terpaksa ditunda susulan taufan Kammuri atau Tisoy diramal berlaku. - Foto NSTP/Osman Adnan
PEMANDANGAN kawasan Metro Manila yang diselubungi awan mendung berikutan taufan Kammuri yang akan melintasi Filipina. PHISOG dalam satu kenyataan kecemasan, beberapa acara sukan terpaksa ditunda susulan taufan Kammuri atau Tisoy diramal berlaku. - Foto NSTP/Osman Adnan

Taufan Kammuri: Acara sukan dalam venue tertutup lancar

MANILA: Walaupun beberapa acara melibatkan venue luar terpaksa ditunda akibat Taufan Kammuri, kebanyakan acara Sukan SEA ke-30 melibatkan venue tertutup di sini, berjalan lancar setakat tengah hari ini.

Seperti diramalkan oleh agensi ramalan cuaca, hujan lebat beserta angin kencang sudah melanda bandar Metro Manila sejak awal pagi tadi, yang dijangka berterusan hingga lewat malam dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Walaupun penduduk tempatan sudah mengurangkan aktiviti luar sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi taufan yang dikenali sebagai Tisoy di negara ini, acara seperti menembak, wushu, badminton dan boling berjalan dengan lancar di Manila,.

Bagaimanapun, acara tenis di Pusat Tenis, Kompleks Sukan Memorial Rizal terpaksa ditunda kerana hujan lebat.

Tinjauan Bernama mendapati lalu lintas di bandaraya ini berkurangan, berbanding sejak seminggu lalu dengan keadaan trafik sentiasa sesak.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), juga telah membuka khemah-khemah di hadapan kesemua venue pertandingan sejak lewat malam tadi untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Semalam, PHISGOC telah membuat keputusan untuk menunda beberapa sukan seperti bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentathlon dan luncur angin yang dijadualkan di sekitar Clark dan Subic pada hari ini, ke tarikh baru.

Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara berkata pegawai teknikal sudah mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah berkaitan taufan itu, termasuk keperluan meminda venue pertandingan, tetapi menegaskan bahawa temasya itu tidak akan dilanjutkan melebihi tarikh penutupan pada 11 Disember ini.

Menurut laporan berita semalam, sekurang-kurang seorang terbunuh manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di sini digantung ketika Taufan Kammuri, yang merupakan taufan yang ke-20 melanda negara ini, semakin mendekati pulau utama, Luzon.

-- BERNAMA

Berita Harian X